MB Perak Arah MBI Pulih Semula Medan Selera Taman Kanak-kanak

IPOH, 28 Feb  — Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengarahkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk membaik pulih medan selera di Jalan Dato Tahwil Azhar, yang lebih dikenali sebagai Taman Kanak-Kanak (TKK).

Menurutnya, TKK merupakan antara ikon yang dikenali di Ipoh sebagai tempat makan yang murah dan sedap hingga sentiasa menjadi lokasi pilihan warga bandar raya ini.

“Namun tempat ini perlu dibaik pulih terutama sistem pengairan dan longkang kerana menyebabkan bau yang busuk apabila hujan serta tandas yang tidak diurus dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di medan selera berkenaan hari ini.

Zambry membuat lawatan mengejut selama sejam untuk memeriksa kawasan tersebut selepas mendapat maklum balas daripada netizen di laman Facebooknya yang meminta beliau meninjau medan selera itu.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh Datuk Zamri Man.

Menurut Zambry, lokasi TKK di tengah bandaraya Ipoh serta bersebelahan dengan satu lagi kawasan tarikan, Gerbang Malam, menjadikannya tumpuan pelancong.

Sementara itu, seorang peniaga di TKK, Amy Sufizah, 30 berkata kawasan tersebut sebelum ini terkenal sebagai tempat warga Ipoh beriadah.

Selain lokasinya yang strategik, kawasan itu dahulunya dilengkapi dengan taman permainan menyebabkan ramai ibu bapa membawa anak mereka beriadah sebelum atau selepas menjamu selera di sana.

“Kini tempat ini orang dah jarang datang sebab longkang selalu sumbat hingga menyebabkan bau busuk, lampu juga kadangkala tak ada menyebabkan gerai menjadi malap hingga pengunjung tak selesa untuk makan.

Seorang lagi peniaga, Abd Satar Darus, 60, berkata peniaga makanan di TKK mengharapkan MBI dapat menyediakan premis baharu di situ supaya bukan sahaja cantik tetapi selesa seperti medan selera lain.

TKK yang berusia lebih 30 tahun itu mempunyai 50 gerai makan namun hanya 25 sahaja yang masih aktif.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview