MCA mahu Selangor dedah urusan kutip semula hutang RM1b

KUALA LUMPUR – Pemuda MCA hari ini meminta kerajaan negeri Selangor mendedahkan butiran berkaitan dengan langkah dan urusan mengutip semula hutang membabitkan lebih RM1 bilion dengan sebuah syarikat senaraian awam.

Memberikan latar belakang kes itu pada sidang akhbar di sini, Ketua Biro Profesional Muda MCA Datuk Chua Tee Yong berkata pada 2009, Dewan Undangan Negeri Selangor meluluskan RM392 juta kepada Menteri Besar Incorporated untuk membeli hutang syarikat itu yang terhutang dengan kerajaan negeri.

Beliau berkata RM277 juta adalah hutang kepada Permodalan Negeri Selangor Bhd dan Universiti Industri Selangor (Unisel) tetapi Unisel langsung tidak menerima wang itu.

Jika Unisel ada menerima wang itu, dengan itu ia tidak perlu mengumpulkan RM30 juta untuk membantu pelajarnya, dakwa Chua.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu juga mendakwa RM115 juta hutang kepada Kumpulan Hartanah Selangor Bhd (KHSB) oleh kerajaan negeri masih tidak dibayar mengikut laporan tahunan KHSB.

Chua mendakwa kerajaan negeri membeli aset bernilai RM676 juta daripada syarikat senaraian awam itu dan ini membolehkan syarikat itu menukar status daripada syarikat PN17. Syarikat berstatus PN17 dianggap sebagai gagal melunaskan bayaran balik pinjamannya.

“Daripada mendapatkan semula hutang RM392 juta, kerajaan negeri membeli aset tambahan bernilai RM284 juta. Ini jelas menunjukkan langkah menyelamat di mana ia (kerajaan negeri) menggunakan wang rakyat untuk membantu syarikat itu,” tegasnya.

Sementara itu, semasa diminta mengulas kenyataan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kemelah Ayub Rahmat bahawa Umno Johor perlu menerajui langkah melaksanakan “hudud sebenar’ kepada semua bangsa sebelum Kelantan berbuat demikian”, Chua menjawab:

“Kami hanya mengambil perhatian sekira kenyataan mengenai hudud dibuat oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), timbalannya (Tan Sri Muhyiddin Yassin) atau kenyataan rasmi daripada Umno”.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview