Melaka Gateway Penting Bagi Inisiatif ‘Satu Jalur, Satu Jalan’ China – Liow

MELAKA, 7 Nov — Melaka Gateway merupakan projek yang penting bagi menyahut inisiatif ‘Satu Jalur, Satu Jalan’ yang sedang dilaksanakan kerajaan China, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, ini kerana Melaka Gateway akan dilengkapi pelabuhan kapal persiaran; pelabuhan laut dalam dan marina selain pelbagai jenis hartanah yang mampu menjana sektor ekonomi di kawasan itu yang juga merupakan sebahagian kawasan ‘Satu Jalur, Satu Jalan’ tersebut.

12190130_1228215907205675_7256365120418945021_n“Ini menunjukkan Malaysia bukan sahaja menyokong inisiatif ini, tetapi juga mempunyai program dan projek yang mampu memberi faedah kepada kedua-dua negara,” katanya pada sidang akhbar di sini, Sabtu.

Terdahulu beliau bersama Menteri Pengangkutan China, Yang Chuantang melawat projek Melaka Gateway di Pulau Melaka, di sini.

Melaka Gateway merupakan projek pembangunan hartanah tiga pulau buatan manusia seluas 249.52 hektar bernilai RM40 billion dan dijangka siap pada 2025.

Projek itu bakal menempatkan kediaman mewah, galeri beli-belah, ruang pejabat dan kawasan riadah selain pelabuhan dan marina.

‘Satu Jalur, Satu Jalan’ yang mempunyai dua komponen penting iaitu Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21 dan Laluan Sutera Darat merupakan inisiatif China bagi memajukan lagi sektor ekonomi di rantau Euroasia.

Liow berkata, kementeriannya telah meluluskan pembinaan pelabuhan laut dalam dan taman laut di pulau ketiga projek Melaka Gateway.

Beliau berharap China dapat memberikan pelbagai jenis sokongan antaranya tenaga pakar dan teknologi selain pelaburan, bagi menjayakan projek terbabit.

“Kita juga berharap dapat mewujudkan perikatan dengan pelabuhan di China bagi memajukan lagi pengurusan kapal persiaran, kontena dan pelbagai lagi yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.


© 2018 Malaysianview