Melaka Perlu Tapak Pelupusan Sampah Baharu – Idris

MELAKA, 1 Ogos — Melaka memerlukan tapak pelupusan sampah baharu pada kadar segera memandangkan tapak pelupusan sanitari Sungai Udang dijangka dapat bertahan sebulan sahaja lagi sebelum mencapai kapasitinya, kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.

Sehubungan itu beliau berharap Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dapat menimbang segera permohonan tapak pelupusan baharu yang dibuat kerajaan negeri sebelum ini.

“Penyelesaian terbaik bagi masalah ini ialah membuka tapak pelupusan sampah baharu yang mengunakan teknologi tinggi,” katanya selepas merasmikan penutup Seminar Bersih Budaya Melaka di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh dekat sini hari ini.

Beliau berkata secara purata tapak pelupusan sanitari di  Sungai Udang itu menerima 850 tan hingga 1,500 tan sampah sehari.

Mengulas perkembangan lain, Idris berkata pihaknya akan mengusulkan kepada Datuk Bandar Melaka agar mengkaji semula undang-undang kecil  untuk mengenakan denda kepada orang ramai yang membuang sampah merata-rata terutamanya di tempat awam.

“Diharapkan langkah ini  dapat mendidik masyarakat agar tidak membuang sampah merata-rata,” katanya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview