Melaka Tumpu Usaha Tarik Pelaburan Pelancongan, Industri Dan Pelabuhan Dari China

MELAKA, 6 Julai – Kerajaan Melaka kini menumpukan usaha menarik pelaburan dalam sektor pelancongan, perindustrian dan pelabuhan dari China, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Beliau  berkata Melaka menarik lebih 16 juta pelancong pada 2017 dan dianggarkan 17.8 juta pelancong​​​​​​​ akan tiba di negeri ini tahun ini, oleh itu ia membuka banyak peluang pelaburan ​​​​​​​untuk pelabur​​​​​​​ China.

“Bilangan pelancong terbesar (tiba di Melaka) adalah dari China, diikuti Singapura dan Indonesia. Jadi, ​​​ kalau kita melihat peluang (untuk pelaburan) yang ada, saya berpandangan adalah wajar kita memberikan​​​​​​​ kerjasama,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan delegasi yang terdiri 80 anggota  Dewan Perniagaan​​​​​​​ Malaysia-China dan peserta industri dari negara tersebut.

Adly berkata, pelaburan dalam sektor perindustrian di Melaka juga amat memberangsangkan apabila​​​​​​​ negeri itu memperoleh pelaburan berjumlah RM4.65 bilion tahun lepas dengan RM2.25 bilion adalah pelaburan asing, manakala selebihnya pelaburan tempatan.

“Perindustrian  dan pembuatan adalah tulang belakang pembangunan Melaka yang menyumbang sekitar​​​​​​​ 43 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negeri bagi tempoh 15 tahun. Pelabur dari China tidak perlu bimbang kerana pelaburan dalam sektor ini masih luas di Melaka,” katanya.

Beliau berkata, Melaka turut menumpukan usaha membangunkan tiga pelabuhan utama iaitu Pelabuhan Melaka Gateway, Pelabuhan Tanjung Bruas dan Pelabuhan Kuala Linggi.

Namun, katanya, tumpuan semasa diberikan kepada sektor pelancongan.

“Pelabuhan masih dalam pembinaan maka sektor itu akan mengambil sedikit masa,” katanya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview