imageBarangan bantuan kemanusiaan seberat 500 tan diserahkan oleh ketua misi tersebut, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kepada Menteri Kebajikan Masyarakat, Bantuan dan Penempatan Semula Myanmar, Dr. Win Myat Aye di Terminal Pelabuhan Antarabangsa Thilawa, Yangon.

Yang turut hadir pada majlis penyerahan tersebut ialah Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Duta Besar Malaysia ke Myanmar, Mohd. Haniff Abd Rahman dan Presiden Majlis Pertubuhan Perundingan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abd. Hamid.

Selain itu, kerajaan Myanmar juga membenarkan sebanyak 30 sukarelawan terdiri daripada wakil media dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai misi tersebut berada di pelabuhan untuk turut serta dalam majlis penyerahan barangan bantuan kemanusiaan.

Reezal Merican berkata, beliau yakin kerajaan Myanmar akan menguruskan barangan tersebut kepada masyarakat yang memerlukan di negara berkenaan termasuk etnik Rohingya.

“Keterbukaan kerajaan Myanmar membenarkan misi tersebut diteruskan merupakan satu kejayaan dan kita tidak boleh terlalu skeptikal dengan mereka. Ini merupakan waktu yang sesuai untuk kita membina hubungan baik dengan kerajaan Myanmar untuk memastikan bantuan kepada masyarakat Rohingya dapat disalurkan secara berterusan,” katanya. – UTUSAN