MOA Sedia Jalin MOU Dengan FELDA Tingkat Bekalan Makanan Negara

TAMPIN, 11 Jun — Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bercadang memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Felda dalam usaha mempertingkatkan bekalan makanan negara.

Menterinya Salahuddin Ayub berkata antara usaha yang bakal dilakukan adalah dengan menjalankan pelbagai projek pertanian berimpak tinggi di tanah rancangan tersebut selain aktiviti penternakan lembu.

Katanya, dengan kerjasama itu, ia mampu mempertingkatkan bekalan makanan dalam negara sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada makanan import.

“Jika mendapat hasil yang lebih, kita juga dapat mengeksport hasil terbabit ke luar negara namun kami tumpu kepada pasaran tempatan terlebih dahulu.

“Kami bersedia menjalinkan MoU atau apa sahaja perjanjian yang bersesuaian dalam meningkat keberhasilan bekalan makanan di negara ini,” katanya di sini, malam ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Anak Felda anjuran Persatuan Anak Peneroka Felda Dewan Besar Gemas dekat sini.

Turut hadir, Anggota Parlimen Tampin Dr Hasan Bahrom, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan Bakri Sawir dan Timbalan Pengarah Besar Felda Anuar Malek.

Beliau juga berharap jika perkara itu dapat direalisasikan, harga makanan mampu dijual dengan kadar yang lebih murah berbanding sebelum ini sekali gus mengatasi kos sara hidup rakyat yang kian meningkat.

“Kementerian akan terus komited dalam menjaga kualiti dan kuantiti makanan yang dihasilkan di negara ini agar peniaga dapat menjualnya di pasaran jauh lebih murah sekali gus mampu dibeli oleh rakyat,” katanya.

Pada majlis itu, Salahuddin turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 50 asnaf dan anak yatim dari Felda Pasir Besar dan Palong.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview