Muhyiddin Angkat Sumpah Jawatan Ahli Parlimen Pagoh

KUALA LUMPUR, 14 Ogos — Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengangkat sumpah sebagai Anggota Parlimen Pagoh di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Majlis mengangkat sumpah itu diadakan sebelum persidangan Dewan Rakyat bersidang pagi ini. 

Mohamad Ariff selepas itu mengalu-alukan kehadiran Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri dan mengucapkan tahniah atas kemenangan beliau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Beliau turut berharap Muhyiddin dapat memberi sumbangan yang berguna dan berfaedah dengan berhujah secara baikdalam usaha memastikan institusi Parlimen negara kekal disegani oleh setiap lapisan masyarakat.

Seperti saya ingatkan sebelum ini, Dewan Rakyat ini mempunyai kedudukan tertinggi dalam menentukan undang-undang negara dengan tujuan memberi manfaat terbesar kepada rakyat. Ia mempunyai kewibawaan sendiri dan melengkapkan cabang pemerintahan yang lain.

Justeru, peranan Parlimen sebagai medan perbahasan dan perdebatan haruslah dihayati sebaiknyadalam usaha-usaha menambah baik dan penggubalan undang-undang haruslah diteruskan supaya Parlimen disegani dan dirahmati segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bercuti sejak 12 Julai lepas bagi menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada pankreas.

Beliau menjalani pembedahan itu di Singapura baru-baru ini dan dibenarkan keluar dari Hospital Mount Elizabeth pada 7 Ogos lepas. 

Setiausaha Akhbarnya, Hafiz Abdul Halim sebelum ini dilaporkan berkata tahap kesihatan Muhyiddin semakin baik ketika ini dan beliau dijangka kembali bertugas serta menghadiri beberapa mesyuarat bermula minggu ini.

Muhyiddin dijangka menjalani rawatan susulan termasuk kimoterapi untuk tempoh enam bulan sebagai langkah memastikan masalah ketumbuhannya tidak berulang.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview