Muhyiddin Nafi Rombakan Besar-Besaran Libatkan PDRM

KUALA LUMPUR, 12 Jun  — Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan  terdapat rombakan besar-besaran yang melibatkan  kepimpinan  tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti yang disiarkan oleh beberapa akhbar tempatan sejak semalam.

Katanya susulan laporan terbabit, beliau menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai dan wakil media mengenai perkara berkenaan.

“Saya menafikan dakwaan rombakan besar-besaran yang melibatkan kepimpinan tertinggi PDRM bakal dibuat bulan depan seperti mana yang disiarkan di media massa.

“Bagaimanapun, selaras dengan dasar kerajaan Pakatan Harapan yang mengutamakan tadbir urus yang baik, saya sedang meneliti keperluan mengadakan rombakan di PDRM untuk dikemukakan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin memberi jaminan bahawa kerajaan akan sentiasa memastikan setiap kementerian, agensi dan jabatan kerajaan berfungsi dengan penuh tanggungjawab, telus dan berintegriti.

Semalam, beberapa akhbar tempatan melaporkan akan berlaku rombakan besar-besar dalam PDRM antaranya melibatkan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

— BERNAMA

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview