Muktamar PAS: Lapan Usul Diterima Sebulat Suara

KOTA BAHARU, 17 Nov — Isu pencabulan hak asasi manusia terhadap penduduk Gaza dan Rohingya adalah antara tiga usul yang sempat dibahaskan di Muktamar Tahunan PAS ke-58 di sini hari ini.

Usul yang dikemukakan Dewan Pemuda PAS itu antara lain meminta muktamar mengambil ketetapan mendesak kerajaan Malaysia melalui Parlimen menerima usul tergempar berkaitan Palestin dan Rohingya.

Usul lain yang dibahaskan ialah mengenai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dengan meminta sistem tersebut ditangguhkan serta-merta bagi mengelakkan penganiayaan kepada rakyat.

Turut dibahaskan ialah penubuhan unit audit syariat bagi tujuan mengaudit perjalanan badan eksekutif.

Ketiga-tiga usul itu merupakan antara enam usul yang diterima untuk dibahaskan selain dari lapan usul lain yang diterima sebulat suara tanpa dibahaskan.

Antara usul yang diterima sebulat suara tanpa dibahaskan ialah mengenai penstrukturan semula sidang editorial Harakah, mendesak seluruh organisasi PAS mempertingkatkan usaha dakwah kepada bukan Islam dan cadangan agar wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) diberi peluang untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-13.

Sementara itu isu berkaitan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), mewujudkan pilihan raya yang bersih dan adil serta memperkasakan siri penerangan kepada penyokong Melayu bakal menjadi usul yang akan dibahaskan apabila muktamar bersambung esok.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview