Najib Mahu Konsep Negara Islam Sebenar Difahami Ramai

ANTALYA (Turki), 16 Nov — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru para pemimpin dan tokoh Islam dunia untuk menyebar luas ajaran Islam yang sebenar supaya konsep negara Islam dapat difahami bagi mengelak ramai terjebak menerima ideologi kumpulan militan IS.

DATUK SERI NAJIB TUN RAZAKIni adalah kerana ideologi kumpulan IS tidak mencerminkan Islam yang sebenarnya, kata Najib pada sidang akhbar selepas sesi makan malam sempena Sidang Kemuncak G20 ke-10 di sini.

“Konsep negara Islam dan Islamic state yang sebenarnya harus difahami dan dihuraikan sebab kalau kita tak faham apa konsep sebenar ini, kita boleh terjebak menerima ideologi atau kefahaman IS,” katanya sambil menekankan betapa pentingnya peranan yang harus dilakukan oleh pemimpin Islam dalam hal ini.

Pada sesi tersebut yang membincangkan cabaran global berkaitan keganasan dan krisis orang pelarian, beliau memberitahu para pemimpin G20 bahawa Islam merupakan agama kedamaian, kesederhanaan dan tidak membenarkan mana-mana orang yang tidak berdosa dibunuh.

Malah, Islam juga tidak akan membenarkan seseorang itu membunuh diri sendiri seperti menjadi pengebom berani mati dan sebagainya, katanya.

Huraian beliau disokong dengan memetik ayat 32 Surah Al-Maidah serta hadis Nabi.

Beliau menceritakan satu hadis bagaimana seseorang yang berjuang dengan Rasulullah telah tercedera dalam peperangan dan ingin membunuh diri tetapi Rasulullah bersabda bahawa orang itu tidak dapat masuk syurga kalau bunuh diri.

“Jadi jelas Islam tidak membenarkan membunuh orang yang tidak berdosa dan membunuh diri sendiri namun apa yang menjadi tanda tanya adalah kenapa ada yang percaya dan yakini ideologi IS yang sanggup melakukan perkara yang dicegah oleh Islam,” kata Najib.

Namun begitu, beliau berkata perlu juga dikaji lebih mendalam mengapa perkara sedemikian boleh berlaku.

“Sama ada mereka merasakan ada sesuatu ketidakadilan, tidak ada harapan masa depan atau kekecewaan atau mereka dipinggirkan atau mereka merasakan mengalami ketidakadilan sosial ataupun mereka yakin bahawa konsep khalifah yang diperjuangkan oleh IS itulah jalan sebenarnya,” kata Perdana Menteri.


© 2018 Malaysianview