Najib nafi campur tangan urusan tender projek LRT Ampang

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan beliau campur tangan dalam urusan pemberian tender projek  sambungan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Ampang sebagaimana didakwa oleh PKR baru-baru ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan menegaskan, segala urusan dijalankan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

“Semuanya dilakukan dengan betul. Tidak ada perkara seperti itu,” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di sini malam tadi.

PKR mendesak kerajaan memberi penjelasan berhubung pemberian kontrak pembinaan projek tambahan itu kepada sebuah syarikat yang didakwa tidak mempunyai pengalaman.

Pengarah Strateginya, Mohd Rafizi Ramli mendakwa bahawa pemberian kontrak bernilai hampir RM1.1 bilion kepada syarikat tersebut mendapat campur tangan kerajaan.

“Syarikat ini berpengalaman dalam bidang paip dan pernah terlibat dalam pembinaan sebuah hospital di Pahang. Jadi mengapa syarikat ini dipilih?

“Kami ada bukti dan percaya ada campur tangan terus kerajaan yang melanggar proses dan prosedur perolehan kerajaan,” dakwa beliau.

Semalam, Rafizi bersama Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Latheefa Koya membuat laporan polis berhubung dakwaan tersebut.

Rafizi berkata, beliau meminta satu siasatan di bawah jenayah pecah amanah dan salah guna kuasa ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan tersebut.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview