Nasib Razif Akan Ditentukan Presiden Parti

KUALA TERENGGANU, 1 Julai — Nasib Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman akan ditentukan selepas mesyuarat pemimpin tertinggi parti negeri bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak lama lagi.

Setiausaha badan perhubungan itu, Datuk Muhammad Pehimi Yusoff berkata ketika ini, Ahmad Razif masih memegang jawatan tersebut dan ia bergantung kepada budi bicara presiden parti sama ada mahu mengekalkan beliau atau menggantikannya dengan orang lain.

 Ahmad Razif tewas dalam pemilihan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus dalam mesyuarat perwakilan yang berlangsung semalam.

“Saya percaya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid akan turun ke Terengganu dalam masa terdekat untuk mengadakan perbincangan mengenai pelbagai perkara bersama pemimpin negeri termasuk jawatan  pengerusi badan perhubungan negeri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahmad Razif yang juga bekas Menteri Besar tewas tipis kepada naib ketua bahagiannya, Apli Yusoff dengan majoriti 41 undi pada mesyuarat perwakilan semalam apabila hanya memperolehi 424 undi berbanding Apli yang memperolehi 465 undi.

Ketika ini, hanya empat Anggota Dewan Undangan Negeri yang menang sebagai Ketua Bahagian UMNO iaitu Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said (Kemaman), ADUN Langkap, Datuk Sabri Mohd Noor (Setiu), ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad (Besut) dan Adun Telemong, Datuk Rozi Mamat (Hulu Terengganu).

Sementara itu, Ahmad ketika ditemui pemberita sejurus pengumuman kemenangannya mempertahankan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kemaman semalam berkata beliau sedia menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi badan perhubungan yang baharu sekiranya diberi mandat itu.     

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview