Negara TPPA Pastikan Tiada Halangan Tidak Perlu Ke Atas Perdagangan

KUALA LUMPUR, 5 Nov — Dua belas negara Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) telah memastikan bahawa peraturan teknikal dan standard, tidak akan mewujudkan halangan tidak perlu ke atas perdagangan.

Menurut teks akhir TPPA yang disiarkan di sini Khamis, negara TPPA, menerusi Bab Halangan Teknikal dan Perdagangan, bersetuju memudahkan syarikat mengakses pasaran TPPA.

“Menerusi TPPA, negara yang terlibat disyaratkan membenarkan orang ramai memberi komen ke atas cadangan peraturan teknikal, standard dan prosedur penilaian penyeragaman serta memakumkan proses kawal aturan mereka.

TPPA juga temasuk peraturan sektor khusus untuk mempromosi pendekatan kawal aturan seragam di negara TPPA secara menyeluruh, termasuk antara lain, kosmetik, peranti perubatan dan farmaseutikal.

Sementara itu, Bab Pemulihan Perdagangan menyatakan bahawa ketelusan dan proses yang perlu dalam prosiding pemulihan perdagangan akan digalakkan, namun ia tidak akan menjejaskan hak dan obligasi negara anggota mengikut Pertubuhan Perdagangan Dunia.

Negara anggota dibenarkan untuk memohon langkah perlindungan peralihan dalam tempoh tertentu jika import meningkat akibat penurunan tarif yang dilaksanakan menerusi TPPA, menyebabkan kerosakan serius ke atas industri domestik.

“Langkah ini akan dikekalkan sehingga dua tahun, dengan lanjutan setahun lagi, namun mesti meneruskan liberalisasi jika ia dilanjutkan lebih setahun.

“Bab ini juga menetapkan peraturan yang memerlukan anggota TPPA memohon langkah perlindungan peralihan supaya menyediakan pampasan yang dipersetujui bersama.

“Negara TPPA mungkin tidak mengenakan langkah perlindungan peralihan ke atas mana-mana produk yang diimport berdasarkan kuota rata tarif dan mungkin tidak melibatkan produk TPPA menerusi langkah perlindungan WTO jika import bukan penyebab atau menimbulkan ancaman kerosakan serius,” katanya.

TPPA merupakan perjanjian Perdagangan Bebas Serantau yang menyeluruh, dan berstandard tinggi yang akan meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara negara yang terlibat selain menyepadukan rantau ini menjadi asas dan pasaran tunggal.

Selepas rundingan selama lima setengah tahun, Malaysia dan 11 negara lain – Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Jepun, Singapura, Mexico, New Zealand, Peru, Amerika Syarikat dan Vietnam – berjaya memuktamadkan rundingan TPPA pada 5 Okt di Atlanta, Georgia (Amerika Syarikat).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam satu kenyataan hari ini berkata teks TPPA akan dibentangkan di Parlimen awal tahun depan untuk perbahasan.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview