NGO Desak Kerajaan PH Hentikan Terus Projek ECRL

BENTONG, 10 Julai – Sebanyak 12 badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan alam sekitar hari ini mendesak kerajaan Pakatan Harapan supaya menghentikan terus pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Lembah Klang ke Pantai Timur kerana didapati meninggalkan kesan serius kepada alam sekitar.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata ia bukan sahaja akan menjejaskan alam sekitar tetapi turut mengancam habitat pelbagai hidupan liar di sepanjang kawasan yang terlibat.

“Projek laluan sepanjang lebih 600 kilometer ini bukan sahaja akan membebankan dengan kos hutang yang tinggi terpaksa ditanggung oleh rakyat, tetapi dalam masa yang sama juga ia akan menjejaskan lebih 12 hutan simpan kekal yang terletak di sepanjang laluan.

“Mengikut laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) pihak konsultan sendiri, jajaran awalnya akan melibatkan pembersihan lebih 2,000 hektar hutan dan menyebabkan fregmentasi yang serius.

“Setelah kajian lapangan dilakukan semula hanya 357 hektar kawasan hutan simpan kekal yang terlibat, namun ia masih tidak membantu untuk atasi masalah ini,”katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan ECRL di Kilometer 55. 2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak  di sini hari ini.

Lawatan tersebut turut disertai oleh pimpinan persatuan NGO yang lain seperti Malaysia Nature Society, Malaysia Environment NGO (Mengo), Sahabat Alam Malaysia (SAM), Persatuan Haiwan Malaysia, Hiking and Camping Around Malaysia (Hacam) dan Pertubuhan Rakan Alam Sekitar Malaysia (Grass).

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), pemilik pembinaan projek sebelum ini menerima arahan daripada Menteri Kewangan untuk menggantung kerja pembinaan dan perkhidmatan yang ditetapkan dalam kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) untuk projek berkenaan.

Ia berikutan kos pembinaan projek berkenaan yang dilaporkan mencecah belanja RM81 bilion selepas mengambil kira kos pengambilan tanah, faedah, yuran dan kos operasi lain berbanding kos sebelum ini RM66 billion.

Sementara itu pegawai lapangan SAM Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata walaupun kajian EIA telah dilakukan namun ia hanya melibatkan kawasan hutan simpan kekal dan tidak meliputi kajian terhadap kawasan paya bakau yang turut terjejas dengan projek berkenaan.

“Kajian hanya menyentuh tentang langkah pemuliharaan di kawasan hutan biasa dengan membina terowong dan jambatan supaya pergerakan hidupan liar tidak terganggu, tetapi bagaimana pula kesannya di kawasan hutan berpaya berpaya.

“Apa langkah pemuliharaan yang dilakukan untuk memulihara habitat di kawasan itu,”katanya.

Menurutnya antara kawasan yang terjejas ialah Hutan Simpan Kekal Kuala Paka yang dikelaskan sebagai hutan perlindungan, hutan paya di Kuala Kemaman, dan laluan jajaran Bukit Besi.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview