Operasi NAFAS Digantung Sementara Kerana Masalah Urus Tadbir

PUTRAJAYA, 6 Jun — Operasi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) digantung sementara  berkuat kuasa 1 Jun lalu kerana menghadapi masalah serius dalam tadbir urus terutama dalam aspek kompetensi, kebertanggungjawaban dan ketelusan  melibatkan kepimpinan dan pengurusan agensi itu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata perintah penggantungan perlembagaan Nafas di bawah Seksyen 20 (1) Akta 109 itu dikeluarkan Pendaftar Pertubuhan Peladang susulan laporan audit pengurusan yang diserahkan kepada kementerian pada 26 Mac lalu.

“Penggantungan Nafas dibuat bagi membolehkan siasatan berkaitan tadbir urus, salah guna kuasa dan ketirisan yang melibatkan Anggota Jemaah Pengarah (AJP) dan pengurusan dapat dilakukan.

“Ini bagi memastikan perkara yang boleh menyebabkan kerugian kepada entiti itu dan rakyat dapat diatasi sekali gus mengembalikan tadbir urus korporat yang mantap dapat diwujudkan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Salahuddin berkata penggantungan yang mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan itu tidak menjejaskan perkhidmatan 770 kakitangan Nafas, kecuali kuasa AJP dalam membuat keputusan berkaitan pentadbiran dan kewangan digantung.

Dalam tempoh penggantungan itu, kuasa menguruskan hal ehwal Nafas diserahkan kepada pentadbir iaitu Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang selaras dengan Seksyen 23 Akta 109, katanya.

“Penggantungan ini diharap dapat memberi ruang kepada pihak yang berkenaan untuk menambahbaik keberkesanan sistem penyampaian Nafas bagi memastikan ia kembali kepada peranan asalnya iaitu memajukan kepentingan ekonomi, sosial dan kebajikan anggotanya,” katanya.

Berhubung tindakan lanjut terhadap pengurusan tertinggi Nafas, Salahuddin berkata buat masa ini kementerian lebih menumpukan kepada menambahbaik perkhidmatan agensi itu manakala polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya akan dilibatkan sekiranya perlu.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata monopoli beras oleh syarikat Padiberas Nasional Bhd (Bernas) ditamatkan sepertimana diputuskan jemaah menteri dalam mesyuaratnya hari ini.

Susulan itu, katanya, satu kertas cadangan membuka monopoli itu yang menggabungkan pandangan dari dalam kementerian dan pihak luar akan dirangka sebelum diserahkan kepada kerajaan untuk tindakan lanjut.

“Dalam usaha menjaga kepentingan pengeluar padi tempatan ini, kita telah mengenal pasti modul yang diguna di beberapa negara, antaranya Indonesia yang berjaya dalam pendekatan membuka monopoli beras,” katanya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview