894310-d9f690a0-b0df-11e4-ad32-d6d14632da09Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, kebenaran itu bukan satu keistimewaan atau beliau dianggap sebagai pesalah “tersohor” tetapi disebabkan Jabatan Penjara merasakan ia adalah satu keperluan terhadap kesakitan saraf dan bahu kronik yang dialami oleh Anwar.

Menurutnya, keluarga Anwar boleh memulakan proses membawa masuk kumpulan doktor pakar berkenaan untuk merawat atau melakukan pembedahan ke atas Anwar di mana-mana hospital kerajaan kerana perundangan sedia ada tidak membenarkan Anwar selaku tahanan di penjara, menerima rawatan di luar negara.

“Hakikatnya ialah terdapat doktor-doktor pakar dalam bidang yang sama di Malaysia dan sepatutnya tidak perlu pakar-pakar perubatan dari luar negara. Namun, oleh kerana Jabatan Penjara merasakan bahawa bagi memberikan gambaran kepada komuniti antarabangsa bahawa Anwar diberikan layanan mengikut asas kemanusiaan, maka keputusan itu dibuat.

“Diharapkan semua pihak terutama keluarga Anwar menerima keputusan ini dengan berlapang dada dan berfikiran terbuka serta tidak menjadikannya sebagai satu polemik termasuk menerusi perbahasan dalam persidangan Dewan Rakyat,’’ katanya kepada wartawan di akhir lawatan kerja empat hari beliau ke United Kingdom di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, keputusan itu juga diharap dapat menghapuskan prasangka semua pihak termasuk pentadbiran kerajaan Britain dan Amerika Syarikat (AS) yang mendapat gambaran seolah-olah Anwar dianiaya dan dinafikan hak mendapat rawatan sepanjang berada dalam tahanan.

“Setiausaha Dalam Negeri Britain, Theresa May dan Menteri di Pejabat Luar Negara dan Komanwel, Hugo Swire yang saya temui ketika lawatan kerja ke sini juga bertanyakan tentang rawatan yang diberikan kepada Anwar. Terdapat juga nota daripada Perdana Menteri Britain, David Cameron kepada Datuk Seri Najib Tun Razak tentang perkara yang sama.

“Presiden Universiti Georgetown juga telah menulis surat kepada Perdana Menteri dengan melampirkan dua surat iaitu daripada Setiausaha Negara AS, John Kerry dan juga Penasihat Keselamatan Kebangsaan AS, Susan Rice berhubung perkara tersebut,’’ jelasnya.

Anwar adalah Felo Kanan di Pusat Memahami Islam-Kristian Putera Alwaleed bin Talal di Sekolah Perkhidmatan Luar Negara Universiti Georgetown, Washington.

Ditanya reaksi dua pemimpin Britain itu selepas mendapat penjelasan tentang rawatan yang diberikan kepada Anwar, Ahmad Zahid berkata, kedua-dua mereka berpuas hati dan “tiada soalan tambahan” dikemukakan.

Ahmad Zahid tidak menolak kemungkinan keluarga atau peguam Anwar telah memberikan maklumat tidak tepat kepada pemimpin pentadbiran Britain dan AS menyebabkan mereka prihatin dan bertanyakan perkara tersebut semasa lawatan kerja beliau di sini dan Washington bulan lalu.

Katanya, Anwar bukan sahaja tidak dinafikan hak menerima rawatan tetapi juga tidak dihalang untuk menemui ahli keluarga dan barisan peguamnya.

“Saya ingin nyatakan bahawa Kabinet dimaklumkan bahawa terdapat hampir 200 lawatan semasa Anwar di penjara sama ada oleh pakar perubatan, doktor, peguam yang mengendalikan 16 kes mahkamah beliau, di samping ahli keluarga sama ada di penjara atau hospital.

“Ada juga permintaan daripada pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa dan pemimpin politik asing untuk jumpa Anwar namun perundangan dan Akta Penjara tidak dapat memenuhi semua permintaan itu,’’ jelasnya.

Ditanya tahap kesakitan Anwar, Ahmad Zahid memberitahu, pemimpin pembangkang itu telah menerima sekurang-kurangnya dua kali rawatan oleh doktor pakar tempatan tetapi beliau tidak mengetahui tahap sebenar keseriusan sakit yang dialami oleh Anwar itu.