PAKIM Desak PDRM Ambil Tindakan Terhadap Ngeh Koo Ham

Kuala Lumpur, 11 Oktober – Pertubuhan Amal Kebajikan Islamiah Malaysia (Pakim DiRaja) Serampang Tiga hari ini membuat laporan polis terhadap Pengerusi DAP negeri Perak, Ngeh Koo Ham selain mengecam kenyataan dalam laman sosial twitternya yang mempertikaikan tindakan umat Islam membantah dan menentang filem “Innocence Of Muslims”.

Ahli Majlis bahagian Serampang Tiga (PAKIM) Wilayah Persekutuan, Dato’ Daniel Lee Kong Sing yang telah membuat laporan polis tersebut, mendesak pihak berkuasa khususnya pihak Polis untuk mengambil tindakan segera terhadap Ngeh Koo Ham memandangkan tindakan beliau dan kenyataannya dalam twitternya yang mempertikaikan tindakan umat Islam membantah dan menentang filem “Innocence Of Muslims”, mengancam dan boleh menjejaskan hubungan antara kaum dan agama di dalam negara kita.

 “Kami berharap polis mengambil tindakan yang sewajarnya kerana ahli politik dari DAP, beliau harus faham bahawa komen-komennya tersebut boleh menjejaskan keharmonian rakyat Malaysia.

Beliau seperti tidak tahu menjaga sensitiviti umat Islam sedangkan beliau merupakan ahli politik yang dianggap senior di negara ini, apatah lagi DAP mempunyai pakatan dengan parti Pas.

Ngeh pastinya sudah dapat membaca reaksi umat Islam yang sanggup mengorbankan nyawa demi mempertahankan kesucian agama Islam dan dalam konteks di negara ini ianya diterjemahkan melalui demontrasi dan ia juga diadakan di kebanyakan negara Islam yang lain,” ujarnya kepada pihak media selepas membuat Laporan Polis Di Balai Polis Jinjang sebentar tadi.

Dalam masa yang sama, Ahli Majlis PAKIM DiRaja Negeri Melaka, YB Senator Datuk Haji Saat Hj Abu berkata, soal agama Islam tidak boleh dikompromi dan tidak seharusnya digunakan untuk kepentingan politik.

“Dalam negara kita ini, kita membina negara berasaskan kepada perpaduan kaum. Kita minta ahli-ahli politik dalam negara kita, bukan sahaja dalam pihak kerajaan malah dari pihak pembangkang, bertanggungjawab bersama-sama menjaga keharmonian yang telah kita bentuk selama 55 tahun.

Isu yang paling penting sekarang ialah sensitiviti agama, kita minta ahli-ahli politik jangan mainkan isu agama yang menjadi asas perpaduan dalam negara kita. Jika ada pihak yang cuba bermain api memainkan isu agama ini, kita melihat ini satu titik tolak yang boleh menghancurkan negara jika ianya tidak dibendung dari terus berlaku,” ujarnya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview