Palestin Selar Peranan Trump Untuk Buang Isu Baitulmaqdis Daripada Rundingan Damai

RAMALLAH, 23 Ogos — Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan pergerakan Islam Hamas telah menyelar tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang menyarankan agar isu Baitulmaqdis dikeluarkan daripada rundingan damai Timur Tengah, lapor agensi berita China Xinhua pada Khamis.

Ahmad Tamimi, anggota Jawatankuasa Eksekutif PLO, berkata kenyataan Trump berhubung langkah mengeluarkan isu Baitulmaqdis daripada rundingan Israel-Palestin “adalah sia-sia.”

“Kenyataan Trump menzahirkan polisi berat sebelah AS terhadap Israel dan satu pelanjutan ilusi AS, yang termasuk meluluskan ‘Deal of the Century’ tanpa Baitulmaqdis sebagai ibu kota negeri Palestin.

‘’Trump tidak akan mampu membuang Baitulmaqdis dari hati penduduk Palestin, bangsa Arab dan umat Islam,” kata Tamimi dalam satu kenyataan.

Pemimpin-pemimpin Palestin telah berulang kali mengumumkan penolakan mereka kepada mana-mana pelan damai Timur Tengah AS yang mengecualikan isu-isu seperti Baitulmaqdis, pelarian dan petempatan Yahudi.

Trump dipetik sebagai berkata bahawa Washington telah membuang isu Baitulmaqdis dari meja rundingan.           

‘’Israel akan membayar dengan harga yang lebih tinggi kerana ia telah mengambil satu hadiah yang begitu berharga,” katanya yang merujuk kepada pengiktirafan Washington terhadap langkah menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada Disember 2017.

Presiden Palestin Mahmoud Abbas baru-baru ini berkata Palestin tidak akan mengadakan rundingan dengan pentadbiran Trump atau menerima negara itu sebagai pengantara perdamaian sebelum ia menarik balik keputusannya berhubung isu Baitulmaqdis.

Di GAZA, jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri, menyifatkan keputusan Trump untuk membuang isu Baitulmaqdis daripada rundingan Palestin-Israel sebagai “amat bahaya.”

“Perlu ada respons tegas dari Palestin seperti menarik balik pengiktirafan terhadap Israel, membatalkan kerjasama keselamatan dan memutuskan semua hubungan dengan pentadbiran AS,’’ katanya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview