Para Pengundi DUN Krian Mahu Kembali Kepada BN – Timbalan Presiden TERAS

KUCHING, 5 Nov — Para pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian meluahkan hasrat mereka untuk kembali memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN), kata timbalan presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak Datuk Peter Nansian.

swak_edwin_0603_3bb_24ptBeliau berkata para pengundi kecewa dengan wakil mereka sekarang Ali Biju dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas gagal menerima sebarang projek pembangunan atau geran untuk tempoh empat tahun.

Perkara tersebut dinyatakan kepada para pemberita selepas menerima kunjungan hormat 14 tuai rumah panjang dan seorang Penghulu dari DUN berkenaan di ibu pejabat parti di sini, Khamis.

Menurutnya para pengundi teringin sekali kembali kepada BN disebabkan pentadbiran kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Tan Sri Adenan Satem yang banyak memberi tumpuan kepada pembangunan di luar bandar.

“Mereka mahu mendapat bahagian secara adil. Mereka telah tertinggal dan tidak mahu terus tertinggal,” jelas beliau.

Pada majlis itu Nansian turut menerima 280 permohonan menyertai TERAS yang mesra BN, iaitu serpihan kepada Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP).

Katanya, ketua-ketua rumah panjang itu turut berikrar membantu TERAS merampas semula kerusi Krian dari PKR pada pilihan raya negeri akan datang.

Beliau yang juga Menteri Muda Pembangunan Industri berkata parti mempunyai beberapa calon berpotensi untuk DUN Krian.

“Kami juga mensasarkan satu atau dua dari 11 kerusi baharu DUN. Kami akan serahkan keputusan akhir kepada Adenan sebagai pengerusi BN negeri,” ujarnya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview