Parlimen: Pertambahan Syarikat Berdaftar GST Mampu Kurangkan Ekonomi Terselindung

KUALA LUMPUR, 4 Nov– Pertambahan bilangan syarikat yang berdaftar dalam sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), terutamanya secara suka rela menunjukkan GST dapat mengurangkan aktiviti perniagaan di bawah ekonomi terselindung atau ‘shadow economy’.

GSTKementerian Kewangan berkata dengan GST, peniaga akan berdaftar kerana terdapat insentif yang disediakan iaitu boleh menuntut kembali GST yang dibayar atas input perniagaan mereka.

“Dalam kalangan negara maju yang melaksanakan GST, kadar ‘shadow economy’ adalah sekitar 10 hingga 15 peratus.

“Melalui pelaksanaan GST di Malaysia, aktiviti ini akan dapat dikurangkan terutamanya melalui peningkatkan kerjasama dan perkongsian maklumat antara agensi penguatkuasa dan pentadbir cukai,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) di Dewan Rakyat.

Irmohizam meminta Menteri Kewangan menyatakan sejauh mana kementerian dapat mengawal pasaran gelap yang bermaharajalela selepas GST dilaksanakan di mana perniagaan dan pembeli membuat transaksi tanpa rekod.

Menurut kementerian, keperluan untuk mengeluarkan inbois, mencetak resit, menyimpan rekod seperti yang ditetapkan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 menyebabkan bilangan syarikat yang sebelum ini tidak menyimpan rekod, perlu mula mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.

Sehingga 25 Okt, 2015, sebanyak 392,382 syarikat berdaftar dengan GST.

Daripada jumlah itu, 285,951 syarikat yang mempunyai nilai jualan melebihi RM500,000 berdaftar secara mandatori, sementara 101,651 syarikat berdaftar secara sukarela.

Tambahnya, bilangan pendaftaran ini juga melebihi syarikat yang menjadi pelesen di bawah cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang berjumlah 63,997 syarikat.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview