Pas Bermain Sandiwara Mengenai Hukum Hudud- Awang Adek

BACHOK, 17 Nov  — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak menyentuh perkara berkaitan hukum hudud dalam ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan PAS Ke-58 semalam, dilihat cuba bermain sandiwara untuk mengelirukan rakyat.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Husin berkata PAS mungkin takut dengan amaran keras DAP berkaitan pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

“Rakyat dapat memahami bahawa isu hukum hudud yang diperjuangkan PAS itu tidak lebih daripada gimik politik dan ia tidak akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat walaupun pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 kelak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis menandatangani perjanjian projek transfomasi ekonomi padi di Kampung Kubang Nibong di sini, hari ini.

Awang Adek mengulas usaha PAS untuk melaksanakan hukum hudud sekiranya pembangkang menang pada PRU 13, yang terus menjadi tanda tanya apabila Abdul Hadi langsung tidak menyentuh perkara itu dalam ucapan dasarnya pada muktamar tersebut.

Sebaliknya, Presiden PAS itu lebih memberi tumpuan kepada persiapan jentera parti menghadapi pilihan raya umum bagi memastikan PAS memenangi kerusi yang ditandinginya.

Isu tersebut kembali timbul apabila Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib bertegas PAS akan tetap melaksanakan hukum hudud apabila pakatan pembangkang berjaya menakluki Putrajaya, selepas pilihan raya umum kelak.

Kenyataan itu bagaimanapun tetap dibantah DAP melalui Pengerusinya Karpal Singh dan Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw yang menegaskan hukum hudud, tiada dalam persepakatan parti pembangkang.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview