Pelakon Drama Nurin Misha Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR, 12 Ogos — Pelakon drama Nurin Misha, 52, meninggal dunia di kediamannya di Jalan Ipoh di sini pada kira-kira 9.30 pagi ini selepas mengadu sesak nafas.

Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Hafiz Nafiah berkata Nurin, atau nama sebenarnya Nur Amisah Abdullah, mengadu sukar bernafas kepada anak perempuannya dan meminta ambulans dipanggil.  

“Pihak perubatan yang tiba kemudian mengesahkan dia sudah tiada (meninggal dunia). Jenazah dibawa ke Masjid Kampung Batu, Jalan Ipoh di sini untuk urusan mandi dan solat jenazah sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Bangko ,Jalan Kuching, di sini,” katanya ketika dihubungi.

Nurin yang meninggalkan lima orang anak, muncul dalam drama berjudul ‘Arafah’ yang disiarkan di sebuah stesen televisyen tempatan baru-baru ini. 

Seluruh kepimpinan Seniman dan ahli-ahli mengucapkan salam takziah kepada keluarga beliau, kata Hafiz.

Anak Allahyarham, Nur Amira Alias, 25, berkata karya yang pernah dibintangi ibunya yang paling diingati ialah filem “1957: Hati Malaya” arahan Shuhaimi Baba yang diterbitkan pada 2007.

“Dalam filem itu, emak saya bergandingan dengan pelakon seperti Maya Karin, Rusdi Ramli, Mohd Kamarulzaman Taib,” katanya dan menambah kata lebih menyedihkan emak saya tidak sempat menghabiskan penggambaran beberapa lagi drama.

Amira berkata ibunya sedang dalam proses penggambaran beberapa drama antaranya “Bahagia Bukan Bidaan” dan “Cinta Tiada Ganti”.

Beliau berkata antara pelakon yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada ibunya ialah Delimawati Ismail, Ku Frida Ku Shafie (Mak Engku), Aida Khalid dan Kazim Nor.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview