Pelawaan Umno tidak ikhlas, tegas Pas

SHAH ALAM – Pas mengulangi pendirian menolak ajakan berterusan Umno mahu menjalin kerjasama sambil menyifatkan pelawaan itu bukan kerana perpaduan ummah, sebaliknya hanya bermotifkan politik semata-mata.

Sehubungan itu Pas menegaskan pihaknya tidak akan “melayan mereka”, meskipun Umno kelihatan mengulangi pelawaan pihaknya sejak 2008.

Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tidak akan wujud kerjasama antara Pas dan Umno walaupun atas dasar perpaduan ummah kerana baginya isu perpaduan dalam konteks negara sengaja ditimbulkan tetapi ia bukan tujuan utama.

“Kami tidak akan kerjasama dengan Umno. Mereka (Umno) hanya guna isu perpaduan dalam negara tetapi realitinya, perpaduan yang dibangkitkan itu hanya menjurus kepada kepentingan politik semata-mata,” katanya .

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi menyokong kuat agar Pas dan Umno menjalin kerjasama demi perpaduan umat Islam dan ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dijadikan realiti.

Menurutnya, jika dilihat dari sejarah, Pas dan Umno sendiri pernah berada dalam kerajaan campuran pada awal 1970-an.

“Saya tidak nafikan Pas dan Umno pernah jalin kerjasama dengan mewujudkan kerajaan campuran satu ketika dahulu tetapi kami sendiri sudah belajar dari pengalaman lepas,

“Sebaliknya yang berlaku ialah, jika mereka (Umno) terdesak, baru mahu berpakat supaya bersatu tetapi tindakan mereka tidak sejajar dengan apa yang mereka lakukan,” tegas Tuan Ibrahim.

Bagaimanapun, beliau menghargai ajakan Umno supaya menjalin kerjasama bersama Pas tetapi mereka tidak akan melayan ajakan tersebut.

“Bagi saya, ajakan yang dibuat ini sebagai satu perangkap semata-mata kerana Umno mula tergugat dengan sokongan rakyat yang diberi kepada Pas ketika ini,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pemimpin Umno menyambut baik dan menerima secara positif saranan Ahli Majlis Syura Pas, Nasharudin Mat Isa yang mahu merencanakan semula perpaduan umat Islam terutamanya melibatkan Umno dan Pas.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Umno tidak pernah menolak kemungkinan bekerjasama dengan Pas demi perpaduan ummah.

Sebelum ini, Nasharudin mengingatkan Pas supaya tidak terlalu mengejar kuasa hingga sanggup meletakkan prinsip Islam di tempat kedua.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali turut sepakat dengan pandangan yang diberi oleh Tuan Ibrahim dan menegaskan sekali lagi yang tidak akan wujud kerjasama antara Pas dan Umno buat masa ini.

“Pendirian kami tetap sama, kerjasama antara Pas dan Umno tidak akan wujud,” tegasnya.

Beliau berkata, pihaknya percaya yang ajakan itu bukan semata-mata kerana perpaduan tetapi hanya bermotif ajakan politik.

“Mereka (Umno) ajak bersatu tetapi saya yakin yang mereka cakap dalam konteks politik saja,” ujarnya.

Beliau juga menambah, Pas ketika ini hanya akan fokus kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang bakal menjelma tidak lama lagi.

“Kita tak mahu layan mereka, itu pendirian kita,” tegasnya.

Sumber: Sinar Harian

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview