Pembangkang Bukan Boikot Dewan – Annuar

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Ahli Parlimen Ketereh yang juga Setiausaha  Agung UMNO, Tan Sri Annuar  Musa berkata tindakan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) keluar Dewan pagi tadi adalah untuk memberitahu kepada media setelah tidak dibenarkan untuk memberi sedikit penjelasan berhubung perlantikan Datuk Mohamad Ariff Yusof sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu.

Menurut beliau mereka bersetuju dan mahu menyokong perlantikan tersebut namun ianya mestilah menepati dan mengikut peraturan kerana perlantikan Speaker Dewan rakyat adalah bersifat perlembagaan.

“Kalau kita duduk dan tidak terangkan kepada media, media tidak faham rakyat di luar sana pun tidak faham… dua-dua tidak faham.

“Kita keluar hanya untuk benda yang kita tidak dibenarkan bercakap dalam parlimen dan kita buat keputusan untuk bercakap kepada media . Sebab itu kita keluar buat sidang akhbar dan masuk balik. Itu keputusan kita,“ katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut mengenai perkara berkenaan,  Annuar menegaskan perlantikan Speaker Dewan rakyat tidak boleh menjadi rahsia.

“Perlantikan speaker tidak boleh menjadi rahsia. Sebab itu peraturan menghendakkan 14 hari sebelum sidang hari pertama notis bertulis diberikan dan bukan itu sahaja malah mereka yang dicalonkan mesti menyatakan persetujuan.

“Ertinya tidak boleh rahsia. Bukan BN atau Pas reka tetapi kawan-kawan media lebih tahu  nama Speaker tidak dapat diberikan. Saya tidak kata notis tidak ada….Laporan media hinggalah semalam kerajaan tidak memberikan nama speaker. Mana mungkin notis nama speaker diberikan pada 2 Julai lalu.

“Lebih mengejutkan Speaker sendiri mengatakan dia tidak tahu. Malah mantan speaker Tan Sri Pandikar Amin sendiri bertanya pada setiausaha dewan minggu lepas maklumkan belum ada nama… jelas ini bukti bahawa ‘buku biru’ tidak dipatuhi,” jelasnya.

Annuar Musa yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata apa yang berlaku pagi tadi adalah perkara yang serius dan ianya dibincangkan bersama rakan-rakan parti pembangkang yang lain.

“Oleh kerana serius kita barisan pembangkang berbincang dan bertukar pandangan kerana khuatir kalau BN sahaja mungkin akan dianggap untuk cipta masalah kerana kita pembangkang. Pas sudah lama jadi pembangkang dan kita tinjau pendapat mereka dan mereka sependapat dengan kita berhubung pilihan yang ada,“ katanya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview