Pembangkang Dicabar Dakwa Datuk Murad – Reezal

Kuala Lumpur, 27 Jun: Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini menggesa pimpinan pakatan pembangkang membawa dan  mendakwa bekas Penolong Bank Negara,  Datuk Abdul Murad Khalid ke muka pengadilan bagi membuktikan dakwaan mereka berhubung pengesahan akuan bersumpah palsu membabitkan wang berjumlah RM3 bilion membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tindakan ini bagi membolehkan setiap pendedahan mereka dapat dibuktikan menerusi perundangan dan bukannya mengaitkan pihak lain termasuk pemimpin politik di negara ini.

“Tidak perlu ada jurucakap bagi pihak mana-mana individu kerana ia antara Abdul Murad dan Anwar. Maka, mereka yang sepatutnya selesaikan isu itu. Tetapi apa yang berlaku, pembangkang cuba mengaitkannya dengan UMNO pula, sedangkan ia tiada kaitan,” ujarnya mengulas dakwaan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli bahawa PKR mempunyai bukti Abdul Murad menerima habuan dalam bentuk pembayaran keahlian kelab golf dan yuran bulanan dari pihak ketiga.

Media sebelum ini melaporkan, Abdul Murad mengesahkan membuat akuan bersumpah mengenai akaun yang didakwanya membabitkan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu pada 1999.

Ia termasuk dakwaan Anwar mengawal 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang yang keseluruhannya bernilai lebih RM3 bilion.

Pada satu sidang media semalam, Rafizi berkata, hasil siasatan beliau mendapati, insurans kediaman Abdul Murad juga dibiayai pihak ketiga berjumlah RM3.1 juta yang menyalahi etika serta peraturan Bank Negara.

Selain itu, Abdul Murad juga didakwa mempunyai kepentingan dengan sebuah syarikat dan memperoleh manfaat dari 15 unit kondominium serta akan terus mendedahkan pelbagai salah laku termasuk sepucuk surat tulisan tangan yang ditulis kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Rafizi turut mendedahkan surat terbabit ada kaitan dengan beberapa pemimpin Umno yang memegang jawatan dalam kerajaan dan meminta Abdul Murad memohon maaf kepada Anwar seperti mana pernah dilakukannya satu ketika dulu.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview