Pembangkang Hanya Mahu Jadi Wakil Rakyat, Bukan Berkhidmat Untuk Rakyat Johor – Khaled

MUAR, 24 Jan — Pemimpin parti pembangkang dari luar Johor hanya sekadar ingin merebut kerusi kawasan Parlimen di negeri ini pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan bukannya untuk berkhidmat kepada rakyat.

16174484_10154542017548173_2789894962925515740_nMenteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata mereka tidak akan faham dengan aspirasi dan cara Johor serta tidak mampu memenuhi keperluan rakyat.

“(Penasihat DAP) Lim Kit Siang hanya nak kerusi sahaja dan lepas itu, beliau pasti akan cari tempat lain apabila gagal mendapat sokongan rakyat.

“Datuk Zaid Ibrahim menyuarakan hasrat bertanding di bawah tiket pembangkang pada PRU14 bagi merebut satu daripada kerusi di Johor…beliau tidak akan membawa suara rakyat Johor di Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita selepas melawat Parlimen Muar di sini, hari ini.

Timbalan Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah Wee Tsee sebelum ini dilaporkan berkata Pakatan Harapan akan meletakkan calon berprofil tinggi untuk kerusi Parlimen manakala pemimpin tempatan yang aktif pula akan bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri.

Mohamed Khaled berkata rakyat perlu bijak dalam membuat penilaian kerana parti pembangkang hanya bermain politik dan bukannya untuk membela kebajikan rakyat.

Mengulas tindakan parti pembangkang yang giat mencipta isu bagi mengelirukan rakyat khususnya projek Forest City, Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Johor berkata dakwaan tersebut sama sekali tidak berasas.

Katanya, projek tersebut merupakan usaha kerajaan Johor bagi menjadikan negeri ini dan Malaysia sebagai kuasa ekonomi serantau.

“Kita tidak boleh hanya mengharapkan perancangan daripada kerajaan pusat semata-mata sebaliknya perlu berfikir lebih luas dengan merebut peluang yang ada seperti projek Forest City ini yang bakal membangunkan Johor sebagai pusat perdagangan, ekonomi dan kewangan rantau ini,” katanya.

Berita Berkaitan