Pembangkang Keluar Dewan Hanya Sandiwara- Tun Mahathir

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir  Mohamad menyifatkan  tindakan Anggota Parlimen (MP) pembangkang keluar meninggalkan sidang Dewan Rakyat hari ini sebagai satu mainan sandiwara.  

 “Itu sandiwara, berlakon. Buat pertama kali bekas perdana menteri melakukan tindakan keluar   meninggalkan Dewan Rakyat, jadi sekarang beliau tahu apa ertinya bila orang melakukan tindakan keluar  (dewan) sebelum ini,” kata  beliau merujuk kepada MP Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyertai tindakan keluar dewan itu. 

Dr Mahathir ditanya pemberita mengenai  insiden itu di lobi Parlmen di sini selepas MP mengangkat sumpah.  

Semua, kecuali tiga MP dari Barisan  Nasional dan PAS melakukan tindakan keluar meninggalkan  sidang dewan ketika Dr Mahathir membentangkan cadangan untuk mencalonkan hakim bersara Mahkamah    Rayuan Datuk Mohamad Arif Md Yusof sebagai Speaker. 

Tiga yang tidak menyertai tindakan keluar ialah Khairy Jamaluddin (BN-Rembau), Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis) dan Datuk Rozman Isli (BN-Labuan).

MP pembangkang itu mendakwa kerajaan  Pakatan Harapan tidak mengikut prosedur dalam  pelantikan  Speaker. 

Dr Mahathir juga menafikan dakwaan pembangkang bahawa  kerajaan telah mengundurkan tarikh surat pencalonan Mohamad Ariff, dan menyatakan ia telah disiapkan lebih awal.

Mengenai manifesto Pakatan  Harapan bahawa Speaker Dewan Rakyat akan dilantik dari kalangan para MP,  Dr Mahathir berkata atas sebab tertentu kerajaan tidak dapat memenuhi manifesto sebenar.

Katanya, manifesto lebih merupakan satu panduan. 

“Kadang kala kita boleh melakukan sesuatu perkara dan kadang kala tidak, jadi kita perlu  berfikiran  praktikal.

“Tetapi saya kira orang ramai lebih suka mempunyai seseorang yang tidak ada kaitan  dengan mana-mana parti (sebagai Speaker),” katanya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview