Pembelian Kapal Selam Scorpene Dipolitikkan, Tuduhan Pembangkang Tidak Berasas- Rosnah

Kuala Lumpur, 20 Oktober – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia melihat isu pembelian kapal selam Scorpene seharusnya tidak timbul lagi kerana tuduhan yang dilemparkan oleh pihak pembangkang sudah tidak mempunyai asas. Segalanya telahpun diperjelaskan. Bahkan Mahkamah Perancis telah menolak permohonan pihak pembangkang mengenai isu pembelian kapal selam scorpene.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, pembelian yang dibuat dari segi perundangan telah dibuat mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan. Bahkan YAB Perdana Menteri kita sendiri telah menjelaskan bahawa perjanjian pembelian Scorpene telah dibentangkan di Parlimen.

“Datuk Seri Najib turut menjelaskan bahawa rancangan membeli kapal selam tersebut telah dibuat sejak tahun 1991 lagi dan pada tahun 1995, Kementerian Kewangan meluluskan proses pembelian kapal selam dengan harga yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negara Perancis dan pada ketika itu, Dato’ Seri Anwar Ibrahim merupakan merupakan Menteri Kewangan Malaysia dan beliaulah yang  menandatangani dokumen kelulusan pembelian Kapal Selam Scorpene.

Tindakan pihak pembangkang menjemput peguam asing bagi memberikan taklimat mengenai isu rasuah dalam pembelian kapal selam, Scorpene menunjukkan pihak pembangkang seolah-olah mahu pihak luar campur tangan dalam hal ehwal politik dan undang-undang Negara serta tidak berasas sama sekali,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, beliau turut bersetuju dengan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil serta Dr. Mohd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran bahawa pihak pembangkang suka mengelirukan rakyat dan pihak pembangkang tidak memberikan gambaran serta maklumat yang betul dan maklumat yang sepenuhnya kepada rakyat.

“Seharusnya bukan isu pembelian kapal selam Scorpene yang dipolitikkan dan diketengahkan tetapi isu pembiayaan kos perjalanan, kos penginapan serta yuran guaman William Bourdon dan Joseph Breham. Rakyat seharusnya mempunyai hak untuk tahu siapa yang membiayai kos-kos tersebut?

Dalam memilih pemimpin serta parti yang akan membela nasib mereka seterusnya, rakyat seharusnya bertanya pada diri sendiri bagaimana kita seharusnya memilih seseorang pemimpin itu. Adakah berdasarkan fakta serta bukti? Ataupun dari segi permainan sentiment dan tuduhan yang tidak berasas dan tidak pernah terbukti? Tepuk dada tanya selera,” ujarnya lagi.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview