Pemilihan UMNO Kali Ini Terjemah Demokrasi Terpinggir Selama 30 Tahun

BAGAN DATUK, 29 Jun — Pemilihan UMNO kali ini menterjemahkan demokrasi yang telah terpinggir selama 30 tahun untuk dua jawatan tertinggi parti itu, kata Pemangku Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang merupakan antara calon Presiden UMNO berkata kemeriahan pertandingan itu dapat dirasakan daripada peringkat akar umbi sehingga nasional, setelah beliau mendengar suara akar umbi sebelum membawa kepada Majlis Tertinggi untuk membuka semula semua jawatan untuk dipertandingkan.

“Saya merasakan demokrasi tulen telah diterjemahkan sepenuhnya dalam UMNO di mana sejak 1988 tidak ada pertandingan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden.

“Tentunya, kita tidak harus tangguhkan pemilihan setiap tiga tahun sekali dalam proses menterjemahkan demokrasi ini biarpun piagam kita mengizinkan kita untuk membuat penangguhan selepas 18 bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berlintas langsung dari Dewan Kompleks UMNO Bagan Datuk dalam Program Debat Presiden 2018 yang bersiaran di Astro Awani 501.

Dua lagi calon merebut jawatan presiden parti itu, Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin juga dijemput dalam program debat tersebut yang bersiaran pada 9.30 malam tadi.

Ahmad Zahid juga berharap dengan kaedah mempertandingkan semua jawatan itu, ia akan merakyatkan semula anggota UMNO keseluruhan, selain memberi peluang seluas-luasnya kepada golongan profesional Melayu dan Bumiputera untuk terlibat dalam penentuan dasar dan membuat keputusan.

“Selain itu pada hemat saya, kita harus melihat tidak ada lagi hulubalang-hulubalang politik cuba menyekat ahli baru untuk masuk ke cawangan ataupun dalam kalangan kepimpinan bahagian yang cuba melakukan sesuatu supaya diri mereka tidak perlu ditandingi.

“Saya fikir kita kena keluar kepompong ini, dan saya telah nyatakan dalam 15 manifesto dan saya yakin jika diberi mandat, saya akan berikan kesinambungan kepimpinan UMNO,” katanya.

Mengikut peruntukan Perlembagaan UMNO, Majlis Tertinggi parti itu perlu dipilih tiga tahun sekali.

Kali terakhir Majlis Tertinggi dipilih ialah pada 19 Okt 2013 dan pemilihan Anggota Majlis Tertinggi UMNO sepatutnya diadakan pada 19 Okt 2016.

Mengulas penganjuran debat itu, Ahmad Zahid menyifatkan ia wajar dipanggil wacana atau percambahan minda agar ia tidak terlalu mengasak dengan perbezaan pendapat dan sebagainya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview