Pemuda UMNO, BN Dan Gabungan NGO Adakan Bantahan Di Masjid Kg Baru Esok

KUALA LUMPUR 20 Sept – Pemuda UMNO bersama Pemuda parti komponen Pemuda Barisan Nasional (BN) serta gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) akan mengadakan perhimpunan secara aman di perkarangan Masjid Jamek, Kampung Baru selepas solat Jumaat  bagi membantah penerbitan filem anti Islam, ‘Innocence of Muslims’ dan karikatur yang menghina Rasulullah s.a.w.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, walapun berbeza tempat dengan Pemuda Pas yang akan mengadakan bantahan di Kedutaan Amerika Syarikat, solidariti dan pendirian antara pergerakan itu serta Pemuda Pas tetap sama.

Menurut beliau perhimpunan itu adalah untuk mengecam filem berkenaan serta karikatur dalam majalah Perancis yang menghina agama Islam dan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dan membantah apa sahaja usaha yang menghina Islam atau mana-mana agama selain melahirkan pandangan bahawa kebebasan bersuara perlu ada had serta tanggungjawab dan penghormatan terhadap agama, kaum dan sensitiviti manusia.

“Semalam saya telah bincang panjang lebar dengan Ketua Pemuda Pas, Nasarudin Tantawi berhubung hal ini dan esok Pemuda UMNO dan Pemuda Pas ada solidariti dalam soal tersebut. Maksudnya saya sokong himpunan mereka dan Nasarudin telah menyatakan bahawa beliau juga sokong apa yang kita buat.

“Demi memastikan keadaan terkawal serta keselamatan dan ketenteraman awam saya dan Dewan Pemuda Pas memutuskan untuk mengadakan perhimpunan secara berasingan kerana tujuan perhimpunan esok adalah untuk melahirkan bantahan umat Islam dan rakyat Malaysia terhadap isu tersebut. Hasrat yang sama dan niat yang sama.

“Justeru kita menjemput kepada semua bukan hanya yang beragama Islam termasuklah bukan Islam kerana seperti yang saya sebutkan tadi walaupun antara objektif utama adalah untuk menzahirkan bantahan kami terhadap filem serta lukisan yang baru sahaja keluar tetapi ini juga adalah mengenai ‘respect for all religion‘.

“Kita anggap bahawa kita tidak boleh terima apa sahaja usaha yang menghina yang melucukan mana-mana agama dan bagi umat Islam usaha daripada pihak yang tidak bertanggungjawab ini amat menimbulkan kemarahan kami . Kita rasa bangga rakan-rakan daripada parti lain turut bersama kita,” katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Pada masa yang sama Khairy yang juga Pengerusi Pemuda BN turut mengumumkan pihaknya akan menganjurkan satu malam mencintai Rasulullah.

“Esok bantahan kami dan pada minggu depan kita akan anjurkan malam mencintai Rasul dan kita akan jemput semua terutama umat Islam untuk berhimpun dalam keadaan yang berbeza sikit untuk kita baca pusi dan sama-sama berkongsi pandangan serta menzahirkan kasih dan sayang kita kepada Rasulullah s.a.w.

“Dan Insyaallah saya juga akan menjemput Pemuda Pas untuk bersama dengan kami dalam keadaan yang lebih tenteram daripada esok. Kita akan melihat usaha ini akan berterusan dan bukannya sekadar tamat dengan demonstrasi esok dan kita akan buktikan agama Islam adalah agama yang aman dan tidak keterlaluan dan tidak menunjukkan tindakan yang ganas dalam kita bertindak balas dalam isu berkenaan,”  katanya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview