Pemuda UMNO Buat Laporan Polis Dakwaan Dana Asing Untuk Gulingkan Kerajaan

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Pergerakan Pemuda UMNO hari ini memfailkan satu laporan polis berhubung dakwaan BERSIH, Merdeka Centre dan Malaysiakini dibiayai oleh Open Society Foundation (OSF) yang diterajui George Soros untuk menjatuhkan Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Barisan Nasional.

Exconya, Ibdillah Ishak berkata pendedahan yang dibuat oleh sekumpulan aktivis penggodam yang dikenali sebagai DC Leaks ini perlu dipandang serius oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Ini seolah-olah terdapat unsur-unsur campur tangan asing dalam urusan politik tanah air.  Menerusi dokumen yang berjaya digodam dari OSF, nama Malaysia dan ‘Malaysia Program’ telah beberapa kali disebut.

“Antaranya membabitkan kegiatan penyangak mata wang negara pada Krisis Ekonomi 1997-1998, George Soros yang aktif demi  ‘pilihanraya yang bebas dan adil’ di Malaysia.  Ia seolah-olah mengesahkan dakwaan yang mengaitkan George Soros dengan dikatakan membiayai BERSIH, Merdeka Center dan Malaysiakini.

“Oleh itu saya menggesa agar pihak berkuasa menyiasat kandungan dokumen DC Leaks ini dan sekiranya benar, pihak berkuasa mestilah mengambil tindakan segera terhadap mereka yang menerima biayaan Soros kerana ini merupakan pengkhianatan kepada proses demokrasi negara,” ujarnya kepada media selepas membuat laporan di IPD Dang Wangi di sini, sebentar tadi.

Tambahnya, Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat. “Sehubungan dengan itu, kita tidak perlu campur tangan asing dalam urusan politik tanah air, lebih-lebih lagi mereka yang barangkali mempunyai niat dan kepentingan untuk menggulingkan Kerajaan Malaysia yang dipilih secara sah menerusi demonstrasi jalan raya.

“Ini soal penglibatan pihak luar dalam politik tanah air, lebih-lebih lagi dipelopori George Soros, seorang yang pernah hampir meranapkan ekonomi negara kita ketika negara berdepan Krisis Ekonomi Negara tahun 1997-1998,” ujarnya yang juga Pengerusi Biro Media Sosial Pemuda UMNO Malaysia.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview