Pemuda UMNO JB Yakin Dengan Perancangan Parti – Hairi

JOHOR BAHRU – Pemuda Umno Bahagian Johor Bahru melihat pemilihan barisan tertinggi parti dilakukan pucuk pimpinan sesuatu yang bijak serta mempunyai perancangan strategiknya tersendiri.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata, adalah mustahil parti membuat sesuatu keputusan tanpa mengambil kira kesan yang akan berlaku selain tiada perbincangan dengan teliti.

Menurutnya, antara keputusan tersebut juga adalah melibatkan penetapan bekas Pengerusi Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang ditukarkan dari Johor ke Perlis.

“Meletakkan beliau (Mohamed Khaled) di Perlis iaitu di utara dari selatan pastinya ada agenda tersirat untuk membantu kerajaan negeri di bawah BN memperkukuhkan atau membantu kepimpinan Menteri Besar Perlis.

“Perkara itu mungkin melihat kepada kewibawaan beliau ketika mengurus tadbir Johor dengan cemerlang sehingga perubahan dapat dilakukan.

“Kepimpinan Umno Johor sepatutnya berasa bangga kerana khidmat Mohamed Khaled diteruskan. Jadi jangan pula ditimbulkan persoalan tanpa memikirkan impak jangka panjang,“ katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Hairi berkata, pihaknya juga yakin keupayaan bekas Menteri Besar Johor itu mampu mengembalikan semula kepercayaan masyarakat sekali gus merubah landskap politik di negeri utara tanah air terbabit.

“Kita seharusnya memberi sokongan, jadi sama-sama kita mendoakan perancangan beliau menerajui kepimpinan Umno Perlis dapat mengembalikan kepercayaan rakyat.

“Percayalah, Mohamed Khaled adalah ‘arkitek’ terbaik untuk memodenkan sebuah negeri yang sudah terbukti segala usaha dilakukan beliau di bumi Jauhar ini,” katanya.

Dalam masa sama, pihaknya turut memberi sokongan penuh kepada pimpinan Umno atas keputusan melantik Adun Benut, Datuk Ir Hasni Mohamad sebagai Pengerusi Umno Johor yang baharu.

“Kewibawaan Hasni tidak boleh dipertikaikan. Beliau mempunyai pengalaman yang cukup luas, pernah menjadi Ahli Parlimen dan Exco Kerajaan Negeri. Ia juga terbukti apabila beliau turut dilantik sebagai ketua pembangkang negeri ini.

“Justeru itu, Pemuda Umno Bahagian Johor Bahru berharap semua ahli dan pejuang parti di negeri ini dapat menerima keputusan lantikan presiden dengan berlapang dada dan melihatnya dari sudut positif,” katanya.

 
 
 
 
 

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview