imageKetua ekspedisi pendakian, Rozaimi Md. Said berkata, mayat Syed Redzuan yang berjaket merah, berseluar hitam dan memakai but mendaki ditemukan di glasier Yakhar dan kini sedang dibawa keluar dari kawasan pergunungan.

“Kawan saya, Mohd Khafiz Bachok yang kini bersama pasukan SAR sedang berjalan keluar bersama jenazah Syed Redzuan. Beliau ketika dihubungi positif mengesahkan bahawa jenazah itu adalah Syed Redzuan,” katanya menerusi aplikasi Whats­App di sini hari ini.

Menurut Rozaimi, usaha mencari seorang lagi pendaki, Ramli Abdul Majid, 44, akan diteruskan pagi esok kerana misi SAR terpaksa dihentikan berikutan persekitaran yang tidak selamat.

Syed Redzuan yang menetap di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras dan merupakan seorang ahli perniagaan hilang sejak 21 November lalu bersama seorang lagi pendaki yang masih belum ditemukan, Ramli iaitu Ketua Jurusistem Proton Hol­dings Bhd.

Kedua-dua mereka terpisah daripada ahli kumpulan pendaki yang lain serta gagal pulang ke Kem Tiga yang terletak pada ketinggian 4,200 meter di gunung berkenaan sejak Isnin lalu.

Menurut Rozaimi, kira-kira 200 meter dari mayat Syed Redzuan, pasukan SAR ternampak sebuah objek berwarna gelap yang pada awalnya disangkakan mayat Ramli.

“SAR berjaya tiba di kawasan objek berkenaan dan mendapati ia bukan mayat. Memandangkan keadaan semasa tidak mengizinkan untuk meneruskan usaha pencarian, pasukan penyelamat terpaksa turun dan keluar dari kawasan gunung,” katanya lagi.

Sementara itu, ahli keluarga Syed Redzuan yang berada di Reyney sejak Khamis lalu sedang berunding dengan Kedutaan Malaysia untuk membawa pulang jenazah ke Malaysia secepat mungkin selepas semua urusan berkaitan selesai.

Reyney adalah bandar terdekat dengan tempat mula mendaki Gunung Damavand yang berketinggian 5,610 meter dari paras laut.