Penduduk Seputeh Terjejas Ribut Diminta Lapor Polis

KUALA LUMPUR, 2 Sept  — Penduduk di sekitar Seputeh di sini termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah di Jalan Klang Lama yang terjejas akibat kejadian ribut petang semalam, diminta membuat laporan polis dan mengumpul bukti bergambar bagi tujuan menuntut ganti rugi daripada pihak berkaitan.

Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata pihaknya akan membantu mangsa membuat tuntutan ganti rugi tersebut selain menjalankan kerja membaik pulih kediaman yang terjejas.

Sumbangan daripada Pejabat Anggota Parlimen Seputeh juga akan disalurkan kepada mangsa selepas mereka membuat laporan polis dan dokumen berkaitan diteliti, katanya kepada pemberita ketika meninjau  keadaan Blok C PPR berkenaan, di sini hari ini.

Kejadian ribut pada 4 petang semalam menyaksikan banyak kediaman termasuk bangunan PPR 17 tingkat tersebut dan kenderaan penduduk di kawasan Parlimen itu mengalami kerosakan teruk dengan ada sebahagian kenderaan terbabit  dihempap pokok milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Mengulas lanjut, Setiausaha Pejabat Anggota Parlimen Seputeh Alice Tan berkata pemilik kenderaan dan kediaman yang terjejas kerana dihempap pokok milik DBKL boleh menuntut ganti rugi daripada pihak berkuasa tempatan itu.

Bagaimanapun katanya kenderaan yang diletak di kawasan larangan parkir tidak layak berbuat demikian.

Sementara itu, beberapa penduduk PPR tersebut yang ditemui berkata mereka menyangka blok bangunan tersebut  akan runtuh apabila terdengar bunyi bising yang terlalu kuat ketika ribut melanda.

Zabidah Setapa, 40, berkata dia  amat takut ketika melihat kayu-kayan dan serpihan zink dari bumbung kediamannya dan jiran bersebelahan di tingkat paling atas diterbangkan angin kuat.

“Sudah tujuh tahun saya tinggal di sini dan semalam merupakan kali pertama kejadian seumpama ini berlaku disebabkan hujan lebat dan angin kuat,” kata ibu kepada tiga anak itu.

Bagi suri rumah Noorhaizan Shahar, 42, dia yang baru beberapa minggu pindah di situ kini  berdepan  kesukaran untuk menghantar anak ke sekolah berikutan kereta Perodua Kancil miliknya rosak teruk  dihempap  kayu dan zink yang jatuh dari blok tersebut.

“Sekolah anak agak jauh dari sini,” katanya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview