Pengumuman Calon Awal Tidak Sesuai Untuk Semua Kawasan – Khairy

KUALA LUMPUR 30 Okt – Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata cadangan agar diumumkan awal calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum nanti boleh dipertimbangkan untuk kawasan tertentu dan bukannya untuk semua kawasan.

Menurut beliau bukannya semua kawasan bersedia untuk perkara berkenaan disebabkan faktor oleh dalaman dan sebagainya.

“Saya berpedapat bahawa pengumuman calon lebih awal boleh dipertimbangkan bagi kawasan tertentu. Mungkin bukan setiap kawasan dan bukannya setiap kawasan bersedia disebabkan faktor dalaman dan sebagainya.

“Tetapi untuk kawasan tertentu di mana pada pendapat pimpinan parti calon itu adalah yang boleh diterima oleh kebanyakan masyarakat dan juga parti BN di situ maka tidak ada masalah…kalau nak umumkan awal pun bukanlah enam bulan sebelum pilihan raya… mungkin daripada dua hari sebelum penamaan calon sebelum ini mungkin kita boleh umumkan dua minggu atau sebulan. Itu paling lamalah.

“Kalau ada risiko masalah dalaman perlu dipastikan bahawa semua ursuan dalaman selesai sebelum diumumkan. Umum awal kawasan tidak ada masalah.” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO di sini, hari ini.

Berhubung pendekatan pergerakan itu dalam usaha membantu parti pada PRU akan datang di negeri yang dikuasi pembangkang, Khairy yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) menambah pada waktu ini mereka lebih menjurus kepada isu.

“Banyak program yang telah dibuat untuk mendekati pengundi muda dan sebagainya. Terkini tumpuan kepada Lporan Ketua Audit negara. Kita ke depan dalam isu. Kita tidak mahu ketinggalan dari segi isu. Contohnya laporan Ketua Audit Negara.. banyak serangan terhadap Kerajaan persekutuan tetapi kalau diperhatikan betul-betul banyak kelemahan di bawah pentadbiran kerajaan pembangkang.

“Jadi saya minta Pemuda Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang utarakan benda ini. Buat laporan Polis, sidang akhbar supaya kita dapat beri tekanan kepada mereka dan beritahu kepada rakyat bahawa apa yang diceritakan kepada umum bahawa ini kerajaan contoh sebenarnya tidak betul…. banyak kepincangan dan banyak penyelewengan dan itu penekanan kita. Pemuda Pulau Pinang mainkan isu pentadbiran negeri, Kelantan isu skandal Lembah Sireh. Itu pendekatan kita sekarang ini,” katanya.

Pada masa yang sama Khairy menyarankan agar kepimpinan BN setiap negeri meletakkan sesuatu yang istimewa untuk golongan muda di dalam manifesto masing-masing pada pilihan raya umum nanti.

“Kalau boleh kita sarankan setiap negeri dalam manifesto itu mesti ada sesuatu untuk pengundi muda yang khas. Kita tengok belanjawan kali ini oleh Datuk Seri Najib Razak ada beberapa pengumuman untuk orang muda..pinjaman perniagaan, latihan, skim rumah pertamaku, BRIM 2.0 dan sebagainya lagi.

“Jadi dalam manifesto kita mesti ada yang khas untuk orang muda  lebih-lebih lagi negeri yang kita kalah yang mana yang pengundi muda jadi undi penentu,” katanya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview