Penubuhan Tabung Wakaf Rakyat Johor Tepat Masanya Untuk Pembangunan Ummah – Ali Mazat

NUSAJAYA, 20 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, YB Ali Mazat Salleh menyifatkan penubuhan Tabung Waqaf Rakyat Johor adalah langkah tepat sebagai usaha untuk membangunkan dan menguruskan wakaf secara profesional di negeri berkenaan.

Menurut beliau dengan adanya sistem berkenaan, ianya bukan sahaja dapat ditingkatkan lagi malah dikembangkan secara meluas sistem wakaf demi kepentingan ummah khsusunya masyarakat Islam di Johor.

“Sistem institusi wakaf ini cukup baik dan ianya boleh diperluaskan lagi peranan sedia ada untuk dikembangkan secara sistematik. Dengan tumpuan dan perhatian ini saya kira ianya amat bertepatan dan kena pada masanya bagi mengoptimumkan lagi potensi sedia ada.yb-ali-mazat-2

“Alhamdulillah…semoga pengurusan secara profesional sistem waqaf ini dapat meningkatkan keupayaan masyarakat Islam Johor untuk membangunkan ekonomi serta kejayaan dalam pelajaran dan pendidikan untuk kebaikan ummah”,” katanya dalam satu kenyataan , di sini, hari ini.

Kerajaan Negeri Johor semalam mengumumkan penubuhan Tabung Waqf Rakyat Johor sebagai usaha untuk membangunkan dan menguruskan wakaf secara profesional.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tabung berkenaan akan diuruskan Perbadanan Islam Johor (PIJ) yang akan dilantik sebagai Nazir Khas Pembangunan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Pada masa yang sama Ali Mazat turut melihat Bajet 2016 Johor yang bertemakan Inklusif, Lestari dan Sejahtera untuk Johor dilihat amat bertepatan dan menyentuh secara menyeluruh pembangunan dalam pelbagai aspek di negeri berkenaan.

Beliau berkata bajet berkenaan yang berpaksikan kepada enam teras utama mencakupi pelbagai lapangan dan menepati kehendak kumpulan sasaran untuk kepentingan rakyat Johor yang sekaligus dapat membangunkan negeri berkenaan.

Menurut beliau enam teras utama tersebut iaitu mengutamakan kesejahteraan rakyat, merancakkan ekonomi Johor, menangani peningkatan kos sara hidup, merancakkan keusahawanan Johor melalui inovasi dan pengetahuan, mengangkat agenda Johor lestari serta meneruskan agenda pendidikan berkualiti dan pembangunan insan adalah teras menyeluruh.

“Jika kita ingin huraikan satu persatu ianya cukup panjang. Secara rumusannya kita boleh katakannya adalah mencakupi pelbagai aspek dan benar-benar memberi sentuhan kepada rakyat di akar umbi.

“Peruntukan untuk perumahan, peruntukan untuk golongan belia, peruntukan besar untuk sekolah agama dan macam-macam lagi amat kita alu-alukan kerana inilah yang cukup penting dan ianya amat perlu dititikberatkan oleh kerajaan negeri.

“Peruntukan yang besar kepada Program Rumah mampu Milik Johor dan program Rumah Muafakat Johor adalah bukti kerajaan negeri amat prihatin dengan masalah rakyat berhubung isu harga rumah yang tinggi ditawarkan oleh pemaju-pemaju swasta.

“Begitu juga dengan Johor Skill Masterplan dan Tabung Latihan Kemahiran Johor dengan peruntukan 10Juta untuk tingkatkan kemahiran golongan belia yang tidak mencapai kecemerlangan di dalam akademik adalah satu perkara yang amat tepat,” katanya.


© 2018 Malaysianview