Perbezaan Pendapat Pas, DAP Tanda Pembangkang Tak Mampu Tadbir Negara – Khairy

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin menyifatkan perbezaan pendirian antara Pas dan DAP dalam pakatan pembangkang memberi mesej ketidakmampuan mereka mentadbir negara sekiranya mendapat peluang itu.

Beliau berkata perkara asas seperti soal perlembagaan, yang sepatutnya tidak menjadi masalah, dilihat masih menjadi isu kepada kedua-dua parti.

“Ini adalah peringatan atau ‘reminder’ kepada pengundi bahawa walaupun perkara asas, masih tidak ada persetujuan antara mereka (PAS dan DAP), dan bagi saya, ini boleh memudaratkan negara sekiranya mereka diberi peluang memerintah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa di sini malam ini.

Khairy mengulas polemik terbaru antara PAS dan DAP, yang menyaksikan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan membuat kenyataan berhubung kesediaan Karpal Singh berkompromi mengenai hukum hudud, yang dinafikan Pengerusi DAP itu.

Terdahulu sebelum itu beliau meraikan kalangan petugas media pada majlis berbuka puasa di Bangsar yang turut disertai beberapa Exco Pemuda UMNO yang lain.

Mengenai keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram, Khairy berkata keputusan itu membuktikan sistem kehakiman negara adalah bebas.

“Kita hormati keputusan mahkamah, inilah sistem kehakiman Malaysia yang bebas, namun pembangkang sentiasa kata tidak bebas,” katanya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview