Perlu Ada Perancangan Bukan Sekadar Tukar Nama Sahaja

JOHOR BAHRU 11 Julai – Barisan Nasional (BN) negeri ini berharap langkah kerajaan negeri menamakan Bas Muafakat Johor menjadi Bas Harapan Johor, bukan hanya sekadar menukar ‘hiasan’ di badan bas sahaja.

Ketua Pembangkang, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri perlu mempunyai perancangan jangka panjang bagi memperkasakan pengangkutan awam, sekali gus menjadi pilihan utama rakyat.

Menurutnya, semasa kerajaan negeri diterajui BN, Pelan Induk Penggangkutan Awam (PIPA) yang holistik sudahpun disediakan dan diyakini dapat memberikan rakyat lebih banyak pilihan serta kemudahan bagi memenuhi keperluan pergerakan mereka.

Bas Muafakat Johor diperkenalkan bukan sahaja sebagai usaha mengurangkan kos sara hidup dan jumlah kenderaan persendirian di jalan raya, malah juga bertujuan untuk meningkatkan keselamatan orang ramai yang menggunakan pengangkutan awam.

“Justeru, kita berpendapat, usaha untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan rakyat tidak memadai dengan hanya menukar nama sedangkan pelan pengangkutan awam Johor yang holistik sudah pun disediakan dan sewajarnya dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview