Perodua Tawar Penjimatan Sehingga RM3,500 Tanpa GST

KUALA LUMPUR 31 Mei – Perusahaan Otomobil Ke­dua Sdn. Bhd. (Perodua) mengeluarkan senarai harga baharu bagi semua model syarikat itu dengan penjimatan sehingga RM3,500 berikutan pelaksanaan kadar sifar cukai ba­­­­­ra­ng­­ dan perkhidmatan (GST) mulai 1 Jun.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd. Datuk Dr. Zahari Husin berkata, secara purata semua kenderaan Pero­dua berharga 5.6 peratus lebih rendah berbanding sebelumnya.

Jelas beliau, pada masa sama kerajaan turut mengumumkan bahawa cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan diperkenalkan semula pada September depan.

“Kami menggalakkan semua rakyat Malaysia menggunakan kesempatan ini untuk membeli kenderaan Perodua,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Zahari, pembayaran balik GST untuk pembelian kenderaan, servis dan pembelian alat ganti dari 18 Mei hingga 31 Mei akan berakhir kerana pelanggan akan membayar sifar GST mulai esok.

Menurutnya, Pero­dua turut menawarkan rebat sehingga RM800 pada Jun ini untuk model dan varian terpilih sebagai tambahan kepada sifar GST.

“Orang ramai boleh mengunjungi mana-ma­na cawangan jualan dan servis yang sah di seluruh negara bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan produk dan perkhidmatan kami.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia di atas sokongan mereka yang berterusan kepada Pero­dua,” katanya.

 

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview