Perodua Tingkat Produktiviti Serap Kejatuhan Ringgit

TOKYO 30 Okt. – Perusahaan Automobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) mengambil beberapa langkah dalam operasinya untuk menyerap kesan daripada kejatuhan nilai ringgit ketika ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, antara langkah tersebut termasuk pengawalan kos, meningkatkan produktiviti pekerja dan vendor serta memberi tumpuan dalam perkhidmatan selepas jualan.

image-5Menurut beliau, perkhidmatan selepas jualan masih mempunyai ruang untuk dipertingkatkan dan dikembangkan terutama dalam keadaan ekonomi sekarang kerana pelanggan masih perlu menyelenggara dan membaiki kenderaan mereka.

“Sama ada dalam keadaan ekonomi tidak menentu atau baik sekalipun, Perodua tetap menawarkan pakej-pakej perkhidmatan servis kenderaan pada kadar mampu, hanya RM100 lebih sahaja selain daripada peralatan yang berkualiti tinggi,” katanya dalam sidang akhbar bersama media Malaysia yang menyertai lawatan ke kilang Daihatsu Motor Co. Ltd. di sini hari ini.

Turut hadir Pegawai Pengurusan Eksekutif Kanan Daihatsu Motor, Shigeharu Toda.

Terdahulu, kumpulan media Malaysia yang menyertai lawatan ke Osaka turut diberi peluang menyaksikan majlis pengenalan empat buah kereta model baharu Daihatsu Motor sempena Pameran Motor Tokyo di Tokyo Selasa lalu.

Menurut Aminar Rashid, satu lagi bidang yang menjadi bakal tumpuan syarikat ialah jualan runcit kenderaan terpakai bagi kesemua model syarikat itu iaitu Myvi, Axia dan Alza.

Beliau berkata, ini bertujuan memberikan pilihan kepada pelanggan yang tidak mampu membeli kereta baharu tetapi boleh memiliki kereta terpakai yang berkualiti dan apa yang menarik ia turut menawarkan tempoh jaminan.

Kata beliau, kenderaan terpakai yang akan diberikan jaminan adalah kenderaan yang berusia dalam lingkungan tiga hingga tujuh tahun yang akan dinilai dan dipertingkatkan kualitinya sebelum dijual.

“Tempoh jaminan untuk kereta terpakai ini mungkin enam atau 12 bulan, bergantung kepada keadaan sesebuah kenderaan.

“Kita sedang mengenal pasti lokasi untuk cawangan pertama jualan kereta terpakai Perodua dengan jaminan di Lembah Klang yang akan dibuka tahun depan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, walaupun berdepan cabaran akibat kejatuhan nilai ringgit, Perodua yakin mampu mencapai sasaran menjual 208,000 unit kenderaan tahun ini.

Menurutnya, meskipun jualan kenderaan syarikat itu mencatat angka terendah bulan lalu iaitu 14,500 unit namun yakin ia diramal meningkat semula kepada 17,000 unit pada bulan berikutnya.

“Angka jualan kenderaan Perodua pada Januari hingga September lalu sudah mencatat 157,527 unit berbanding 140, 317 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu,” katanya. – UTUSAN

 

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview