Perodua yakin dengan keputusan separuh pertama 2012

AYER KEROH – Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) amat yakin dengan keputusan kewangannya untuk separuh pertama 2012, berakhir 30 Jun, yang akan diumumkan Rabu ini.

“Tahun ini merupakan tahun yang sekali lagi amat mencabar tetapi ia telah membantu kami untuk lebih berdaya tahan dan kami kekal positif dengan prestasi kewangan itu,” kata Pengarah Urusan Datuk Aminar Rashid Salleh kepada  pemberita di luar acara Perodua Eco-Challenge 2012 (PEC 2012) di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Perodua merancang untuk membuka penyertaan kepada universiti-universiti Asia yang lain.

“Kami masih lagi mengkaji untuk mempelawa beberapa universiti Asia yang lain untuk menyertai pertandingan ini.

“Masalahnya pula, jika kami pelawa mereka, maka akan timbul pula isu mengenai kos, logistik dan pemasaan kerana tahun akademik mereka tidak sama dengan kita,” kata beliau.

Aminar Rashid berkata pertandingan tahun ini agak sengit kerana setiap pasukan perlu menambahbaik ke atas kenderaan perlumbaan tahun lepas mereka dengan menggunakan enjin 660 cc dan sistem transmisi.

Tahun ini, Perodua menyediakan RM10,000 untuk setiap pasukan untuk mengubah/meminda dan meningkatkan kenderaan lumba masing-masing dan RM5,000 untuk cabaran pemasaran.

Pertandingan PEC2012 turut menyaksikan Perodua menambah tiga lagi kategori – “Time Attack”, Cabaran Pemasaran dan Johan Keseluruhan – selain daripada kategori sedia ada iaitu reka bentuk dan kejuruteraan dan Jarak Terjauh.

Dalam perlumbaan itu, Politeknik Ungku Omar menggondol kategori Johan Keseluruhan, Johan untuk Reka Bentuk dan Kejuruteraan dan naib johan untuk kategori jarak terjauh.

Ketua pasukan, Mohd Azmi Ibrahim berkata mereka berjaya menghabiskan projek dalam tempoh tiga bulan untuk membina kereta dan percaya semangat pasukan serta penambahbaikan enjin dan strategi, menyumbang kepada memenangi perlumbaan itu.

Politeknik Ungku Omar memenangi hadiah wang tunai RM43,000.

Universiti Selangor pula memenangi kategori Jarak Terjauh, naib johan untuk kategori “Time Attack” dan tempat ketiga untuk cabaran Pemasaran.

Ketua Pasukan, Professor Madya Ir. Muhidin Arifin berkata pasukan itu membelanjakan RM50,000 dalam tempoh tiga bulan untuk membina kereta itu.

“Kami bangga dapat memenangi pertandingan itu kerana kami telah menantikan selama tiga tahun untuk memenanginya,” kata beliau.

Kategori lain, Cabaran Pemasaran dimenangi oleh Universiti Tenaga Nasional sementara juara “Time Attack’ milik Universiti Teknologi Malaysia.

Perodua memperuntukkan RM1.2 juta setiap tahun untuk melaksanakan Program Tanggungjawab Korporat PEC.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview