Persidangan Antarabangsa Cheng Ho 2018 Pupuk Persaudaraan Malaysia, China

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Kehebatan pelayaran Laksamana Cheng Ho yang merintis  kepada hubungan dua hala antara Malaysia dan China akan diabadikan dalam Persidangan Antarabangsa Cheng Ho 2018 di sini pada 10 Nov depan.

Persidangan berkenaan kali kedua diadakan secara besar-besaran dijangka dihadiri 600 peserta dari seluruh pelusuk dunia membabitkan pakar dan sarjana penyelidik antaranya dari Singapura, Amerika Syarikat dan Brazil dengan tema “ Cheng Ho Multi-Cultural Spirit for World Peace”. 

Persidangan itu dianjurkan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kerajaan Negeri Melaka; Persatuan Cheng Ho Malaysia; Cheng Ho Multicultural Trust; Institut Penyelidikan China Zheng He, dan Persatuan Cheng Ho Antarabangsa Singapura.

Pengerusi DAP Tan Kok Wai berkata kehebatan pelayaran Cheng Ho perlu diketahui umum kerana beliau berjaya meluaskan empayar perdagangan di seluruh dunia tanpa membabitkan sebarang kezaliman, penindasan dan penjajahan sebagai pemangkin kepada prinsip keamanan dan persaudaraan. 

“Saya berharap persidangan ini akan membuka mata ramai mengenai penjelajahan Cheng Ho yang wujud sejak 400 tahun lalu, yang bukan sahaja membuka laluan dagang sutera yang hebat, tetapi lebih daripada itu, mendekatkan persaudaraan antara China dan negara yang berdagang dengannya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tan berkata kehebatan Cheng Ho tidak sama seperti penjelajahan yang dilakukan oleh negara-negara seperti Inggeris atau Portugal yang menyebabkan berlakunya penjajahan dan kezaliman.

 Tan berharap acara berkenaan turut berupaya mempromosikan sektor pelancongan negara khususnya Melaka sebagai negeri yang terlibat dalam perdagangan dengan Cheng Ho ketika itu.

Laksamana Cheng Ho terkenal sebagai pelayar yang hebat dan bijak menjalinkan hubungan diplomatik, selain turut aktif menyebarkan dakwah Islam, di kawasan yang disinggahinya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview