Pertumbuhan Pembayaran Tanpa Sentuh Terus Jadi Bidang Tumpuan – Mastercard

KUALA LUMPUR, 5 Julai – Transaksi tanpa sentuh Mastercard berkembang sebanyak 195 peratus dari segi tahun ke tahun bagi tempoh Januari  hingga Mac 2018, menunjukkan semakin pentingnya pembayaran tanpa sentuh berikutan kaedah pilihan e-pembayaran melalui kad atau telefon bimbit, lebih cepat, mudah dan selamat.

Pengurus Negara Mastercard Malaysia dan Brunei Perry Ong berkata Malaysia tidak terkecuali susulan sejak  tahun lalu, data Mastercard menunjukkan aliran yang meningkat dari segi penggunaan pembayaran tanpa sentuh.

“Mastercard melihat semakin ramai rakyat Malaysia memilih tanpa sentuh atau ‘Tap and Go’ untuk barangan kecil, sama ada untuk makan, minyak atau membuat pembelian di kedai serbaneka.

“Kami mendapati ia menggalakkan susulan ia menunjukkan kesediaan rakyat Malaysia untuk menyesuaikan diri dengan kemajuan pembayaran dan keyakinan mereka terhadap pembayaran tanpa sentuh sebagai cara yang mudah, selamat dan bijak untuk membuat pembayaran barangan pada setiap  hari,” katanya dalam kenyataan.

Berdasarkan kepada data Mastercard, jumlah terminal tanpa sentuh di Malaysia meningkat dengan ketara, mencatatkan peningkatan sebanyak 400 peratus antara 2016 dan 2017.

Menjelang 2020, Malaysia menyasarkan 800,000 terminal semasa jualan (POS) dan daripada jumlah tersebut, 30 peratus tanpa sentuh – bersamaan hampir satu  perempat daripada sejuta terminal.

“Data Mastercard menunjukkan Malaysia dijangka mencapai sasaran tanpa sentuhnya sebagai sebahagian daripada komitmennya yang lebih besar untuk memacu penggunaan dan akses pembayaran digital.

“Kerjasama yang lebih baik dengan penggiat industri dan pendidikan yang berterusan mengenai manfaat pembayaran tanpa sentuh dalam kalangan pengguna dan peniaga akan menjadi landasan untuk merealisasikan matlamat ini,” kata  Ong.

Berdasarkan laporan lain, transaksi tanpa sentuh menyumbang 15 peratus daripada semua transaksi global di POS pada 2017, dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 53 peratus dalam tempoh lima tahun, yang bermakna menjelang 2022, lebih daripada satu dalam dua transaksi di peringkat global adalah tanpa sentuh.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview