Petronas Perluas Bantuan Makanan Ke Tiga Negeri Lain

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Petronas memperluaskan bantuan makanan bulanan kepada 1,200 keluarga di Melaka, Johor dan Terengganu di bawah program ‘Sentuhan Kasih Petronas’ .

Program yang pertama kali dilancarkan pada April itu telah membantu 4,200 keluarga di Kedah, Selangor, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Menurut Petronas dalam satu kenyataan hari ini, sejumlah RM7 juta telah diperuntukkan bagi program tersebut yang bertujuan untuk meningkatkan kehidupan masyarakat.

Sumbangan berkenaan diuruskan dan diedarkan oleh Yayasan MyKasih dan penerima  menggunakan MyKad mereka untuk mendapatkan barangan makanan penting di pasar raya tertentu, katanya.

Selain menerima sumbangan bulanan sebanyak RM80 selama setahun, keluarga yang layak juga akan mendapat RM240 sebagai persiapan Hari Raya.

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Zahariah (Liza) Abdul Rahman berkata berikutan  kejayaan pelaksanaan Sentuhan Kasih pada April, syarikat minyak nasional itu memperluaskan lagi program itu untuk membantu meringankan beban keluarga dalam menguruskan perbelanjaan mereka, terutama untuk mereka yang mempunyai ramai anak.

“Melalui usaha tanggungjawab sosial korporat ini, kami berharap dapat juga memberikan keceriaan  kepada mereka semasa membuat persediaan menyambut perayaan tidak lama lagi,” katanya.

 

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview