Petugas Media Masih Tumpu Langgak Duta Rakam Pergerakan Najib

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) — Media masih lagi memberi tumpuan kepada pergerakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya, apabila terus menunggu di sekitar laluan masuk ke kediamannya di Langgak Duta di sini untuk melaporkan perkembangan terkini.

Tinjauan  Bernama mendapati beberapa pengamal media khususnya jurugambar menunggu di kawasan berhampiran kediaman  Najib yang dikawal anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk merakam pergerakan bekas perdana menteri itu.   

Polis juga masih menempatkan balai polis bergerak dan mengawal ketat kediaman Najib dengan memeriksa setiap kenderaan yang keluar masuk ke laluan itu.

Pada 1.15 tengah hari ini, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire berwarna putih diiringi kereta polis dan sebuah motosikal peronda polis  dilihat keluar dari kediamannya dipercayai membawa Najib ke masjid berhampiran untuk menunaikan solat Jumaat.

Jumlah petugas media yang menunggu itu, bagaimanapun kecil dan tidak seramai sebelum ini. Ada juga petugas media yang datang sesekali melakukan tinjauan berkala.

Pergerakan Najib terus menjadi perhatian media sejak Selasa apabila beliau ditahan SPRM dan keesokannya dihadapkan ke mahkamah  di sini bagi menghadapi pertuduhan berhubung dana SRC International Sdn Bhd.

Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya, berhubung dana SRC International Sdn Bhd. berjumlah RM42 juta. SRC International ialah bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview