Piala Malaysia: ATM-Lions XII hanya seri

MISI juara Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mencari bekalan selesa di tempat lawan tidak kesampaian apabila berjaya diikat 1-1 dalam saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia, di Stadium Jalan Besar Singapura, malam tadi.

Dengan keputusan ini, ATM dan Lions XII dilihat mempunyai peluang seimbang untuk menempah tiket ke final Piala Malaysia 2012 yang akan berlangsung 20 Oktober nanti.

Tuan rumah sedikit cemas apabila percubaan pada babak awal perlawanan menerusi Aidil Zafuan nyaris membolosi gawang, namun tendangan tersasar melepasi tiang gol.

Pasukan tuan rumah mengatur strategi dan melakukan serangan balas tetapi percubaan ke gawang lawan selang beberapa minit kemudian berjaya didakap kemas penjaga gol ATM.

Pada minit ke-29, ATM sekali lagi hampir mendahului lawan. Percubaan Marlon Alex James gagal dilaksanakan dengan baik apabila melepasi tiang gol.

Pasukan tuan rumah bagaimanapun masih tidak berputus asa dan terus membuat beberapa percubaan menerusi Shahdan dan Shahril bagi mendapatkan gol. Pun begitu, banyak kali tendangan pemain terus ke dalam dakapan penjaga gol ATM.

Tiga minit babak kedua bersambung, Lions XII terus dikejutkan dengan asakan pasukan pelawat apabila berjaya melepasi benteng pertahanan namun rembatan penyerang ATM dikeluarkan oleh penjaga gol tuan rumah.

Keghairahan ATM memburu gol akhirnya terhasil apabila Marlon Alex James menghasilkan gerakan menarik sekali gus menewaskan penjaga gol Lions XII pada minit ke-55.

Biarpun ketika ATM dilihat lebih menguasai permainan, Lions XII tetap enggan menyerah kalah apabila pemain tuan rumah terus membuat cubaan ke arah pintu gol pelawat.

Akhirnya, percubaan Safuwan ke arah gawang berjaya menewaskan penjaga gol ATM sekali gus menyamakan kedudukan pada minit ke-81.

Dalam aksi timbal balik, Lions XII akan bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 11 Oktober ini.
Esok, Kelantan bertemu Selangor.

BERIKUT keputusan penuh pusingan pertama separuh akhir Piala Malaysia:

Lions XII (1) mln ATM (1)

Jaringan Lions XII:
Safuwan minit ke-81

Jaringan ATM:
Marlon Alex James minit ke-55

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview