Polis, Imigresen Giat Usaha Jejak Jamal, Musa Aman – Muhyidin

KUALA LUMPUR, 1 Jun — Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan terus mempergiatkan operasi menjejaki Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos dan bekas  Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang dipercayai melarikan diri ke luar negara, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kita percaya kedua-dua individu ini telah meninggalkan negara ini Justeru itu kita akan bekerjasama  dengan  polis luar termasuk Interpol bagi mengesan kedua-kedua  mereka  ini,”   beliau  berkata  demikian  selepas menyertai Operasi Bersepadu JIM di Jalan Petaling di sini, hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebelum ini mengesahkan waran tangkap terhadap Jamal telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ampang hari ini.

Waran itu dikeluarkan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan iaitu melarikan diri daripada tahanan yang sah.

Pada Jumaat lepas, Jamal dilaporkan menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri dan kehilangannya dikatakan disedari oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira 5.30 petang.

Sementara itu, media tempatan melaporkan Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah telah melarikan diri ke luar negara selepas didakwa mengugut Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Dalam operasi yang bermula 4 petang, seramai 170 warga asing telah ditahan daripada 330 individu yang diperiksa atas pelbagai kesalahan Imigresen.

Beliau berkata bermula 1 Jan lepas hingga semalam, seramai 18,521 pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai warga negara ditahan JIM dalam  6,205 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan sepanjang tempoh itu.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview