PPBM Ajak Kerjasama GPS-PH

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyambut baik penubuhan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan mengajak gabungan itu bekerjasama  dengan Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH).

GPS diwujudkan  berikutan  keputusan empat parti komponen BN Sarawak – Parti  Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Sarawak United People’s Party (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Progressive Democratic Party (PDP) keluar daripada Barisan Nasional (BN). 

Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dalam kenyataan hari ini mengalu-alukan kesediaan GPS untuk bekerjasama dengan kerajaan PH demi memelihara kepentingan nasional dan hak-hak negeri  itu berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia.

“Keputusan itu (penubuhan GPS) diharapkan dapat mewujudkan persefahaman dan kerjasama yang lebih baik antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan serta program-program pembangunan di Sarawak.

“Dengan semangat Malaysia Baru, keputusan keempat-keempat parti ini akan merintis jalan ke arah pembentukan negara yang lebih baik selaras dengan harapan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Awal hari ini, PBB, SUPP, PRS dan PDP mengumumkan keluar daripada BN dan membentuk gabungan baharu.

Tindakan itu sekaligus menyaksikan pembubaran BN Sarawak selepas 44 tahun bersama BN Pusat.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat diambil selepas mengambil kira situasi politik semasa dan kepentingan rakyat Sarawak secara keseluruhannya. 

Bagaimanapun, GPS tidak berhasrat menyertai PH dan akan kekal sebagai pembangkang.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, BN Sarawak memenangi 19 daripada 31 Parlimen yang dipertandingkan.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview