PPBM, Nippon Paint Lancar Pusat Sumber Dan Perpustakaan Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) melancarkan pameran pertama Pusat Sumber dan Perpustakaan Kanak-kanak di ibu pejabatnya di Petaling Jaya, baru-baru ini bagi memupuk kebiasaan membaca dalam kalangan kanak-kanak berumur empat tahun ke atas.

Usaha yang dijalankan dengan kerjasama Nippon Paint Malaysia Group (Nippon Paint) itu dilancarkan oleh isteri Menteri Besar Selangor, Masdiana Muhammad.

Presiden PPBM Norsheila Abdullah berkata inisiatif memanfaatkan sepenuhnya ibu pejabat persatuan sebagai pusat sumber merupakan keputusan strategik bagi membuka laluan kepada maklumat dan sokongan lebih besar kepada kira-kira 11,000 anggota.

Ia sebagai panduan untuk menubuhkan pusat penjagaan kanak-kanak yang memenuhi keperluan mengikut Akta Pusat Penjagaan Kanak-kanak 1984, katanya pada majlis pelancaran itu .

“Perpustakaan kanak-kanak dijangka menjadi tempat yang sesuai dan selamat buat kanak-kanak berumur empat tahun menanam tabiat awal membaca dan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang dapat mengembangkan kemahiran kognitif dan sosial mereka,” kata beliau.

Melalui kerjasama tersebut, Nippon Paint bertindak sebagai panel penasihat yang memberi panduan kepada anggota PPBM dengan mengesyorkan lapisan atau fungsi warna yang sesuai untuk pengaliran  udara bersih dan sentuhan yang selamat, serta menggalakkan kreativiti dan persekitaran yang menarik dan selamat di dalam bilik, berdasarkan Program Kesihatan Kanak-kanaknya. 

 PPBM dalam kenyataannya hari ini berkata persatuan itu sedang mengkaji pelaksanaan fasa kedua melalui ‘Books on Wheels’, menyediakan perpustakaan bergerak ke kawasan luar bandar dan separa bandar.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview